‘Kita semua ada tanggungjawab’, Karyawan seru kes persenda kavadi jadi iktibar

‘Kita semua ada tanggungjawab’, Karyawan seru kes persenda kavadi jadi iktibar

Persatuan Karyawan Malaysia beri peringatan Malaysia terbina atas asas perpaduan dan keharmonian antara masyarakat berbilang kaum dan agama.

Freddie Fernandez
Presiden Karyawan Freddie Fernandez kata kita semua ada tanggungjawab untuk memahami dan menghormati perkara berkaitan agama.
PETALING JAYA:
Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) seru kes persenda upacara Thaipusam kavadi dijadikan iktibar, dengan peringatan bahawa semua pihak bertanggungjawab memelihara keharmonian yang menjadi asas negara.

Mengulas kontroversi video tular membabitkan penyampai radio Era FM dan tindakan segera pihak stesen radio serta pihak berkuasa, Presiden Freddie Fernandez berkata sebarang isu yang menyentuh sensitiviti agama dan bangsa tidak harus dipermainkan oleh mana-mana pihak.

“Malaysia terbina atas asas perpaduan dan keharmonian antara masyarakat berbilang kaum dan agama. Oleh itu, adalah menjadi tanggungjawab kita semua untuk memahami serta menghormati satu sama lain khususnya dalam perkara-perkara yang berkaitan dengan agama,” menurut kenyataan.

Karyawan turut mengambil maklum kesungguhan penyampai terbabit untuk memohon maaf dan tindakan tegas pihak pengurusan Era FM menggantung tugas mereka.

Fernandez percaya kejadian itu bukan perbuatan disengajakan, tetapi berpunca daripada kurangnya pemahaman terhadap ritual agama Hindu oleh mereka yang terlibat.

“Saya yakin ini merupakan satu pengajaran besar buat para DJ dan juga stesen radio berkenaan. Dengan penuh rendah hati, saya memohon agar masyarakat Hindu dapat memaafkan keterlanjuran mereka,” katanya.

Sementara itu, Karyawan bimbang tentang komen negatif daripada pelbagai pihak di media sosial yang boleh mengeruhkan keadaan.

Fernandez bimbang sekiranya isu ini dibiarkan berlarutan, ia boleh mencetuskan ketegangan yang boleh menjejaskan perpaduan.

“Oleh itu, saya berharap semua pihak dapat melihat perkara ini sebagai satu iktibar, dan pada masa yang sama, memberi ruang untuk kemaafan,” katanya.

“Kealpaan ini harus dijadikan pengajaran bukan hanya kepada mereka yang terlibat, tetapi kepada seluruh rakyat agar kita lebih menghormati kepercayaan dan budaya satu sama lain.”

Pada Selasa, polis memaklumkan kakitangan stesen radio itu disiasat mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menyerahkan notis niat bagi penggantungan lesen kepada stesen radio Era FM, semalam. SKMM memaklumkan pemegang lesen diberi tempoh 30 hari untuk mengemukakan maklum balas sebelum sebarang keputusan diambil.

Hari ini, badan tertinggi bagi penganut Hindu, Malaysia Hindu Sangam, beritahu FMT bahawa pihaknya sedia menerima permohonan maaf daripada individu terbabit, namun tindakan perlu diambil kerana video tersebut telah menyinggung.

Pertubuhan hak asasi manusia, Pusat Komas, pula berkata wujud keperluan mendesak untuk menubuhkan suatu suruhanjaya keharmonian, memandangkan insiden seumpama bukan luar biasa malah berlaku berkali-kali membabitkan tokoh awam, personaliti media dan ahli politik.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.