
Menteri pertanian dan keterjaminan makanan berkata, faktor lain adalah peningkatan eksport kelapa Indonesia ke China.
“Indonesia tidak mengurangkan jualan kelapa kepada Malaysia cuma mereka naikkan harga. Itu hak mereka, kerana kita tahu pasaran kelapa bergantung kepada permintaan dan penawaran
“Kesannya, harga kelapa tempatan turut meningkat kerana permintaan lebih tinggi,” katanya ketika waktu pertanyaan menteri di Dewan Rakyat.
Beliau menjawab pertanyaan Rodziah Ismail (PH-Ampang) yang mahu kerajaan memperincikan perancangan jangka pendek, pertengahan dan panjang untuk menangani lonjakan harga produk berasaskan kelapa terutama santan.
Mengulas lanjut, Mohamad berkata trend petani tempatan lebih cenderung menjual kelapa muda berbanding tua turut menyumbang kepada bekalan tidak mencukupi untuk pemprosesan santan.
Katanya, kebanyakan penanam kelapa dalam negara memilih untuk menjual kelapa muda kerana harga lebih tinggi dan tempoh tuaian singkat.
Menurutnya, susulan itu Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) dan Fama Corporation Sdn Bhd (Famaco) menggerakkan langkah untuk menstabilkan harga bagi memastikan bekalan barangan berkenaan diperoleh.
Mohamad berkata, hingga Selasa lalu, Fama dan Famaco membawa masuk bekalan kelapa tua dikupas sebanyak 734 tan metrik dari Sabah dan Indonesia dengan nilai belian RM2.01 juta.
“Bekalan kelapa tua tersebut seterusnya diedarkan oleh 42 pusat operasi Fama ke pasaran melalui 509 ‘outlet’ pemasaran Fama seperti agrobazaar kedai rakyat (AKR), agrobazaar rakyat (ABR), pasar tani, pasar tani kekal.
“Sebahagian bekalan turut diagihkan kepada 16 pemborong dan 202 usahawan santan di seluruh negara,” katanya.