Gantung lesen Era FM ‘keras’, kata Saravanan

Gantung lesen Era FM ‘keras’, kata Saravanan

Timbalan Presiden MIC M Saravanan kata tidak adil kakitangan stesen radio lain menderita kerana kesalahan tiga pekerja.

MIC deputy president M Saravanan
Timbalan Presiden MIC M Saravanan kata pihaknya bimbang penggantungan stesen radio itu akan menjejaskan kehidupan ramai orang.
PETALING JAYA:
Cadangan gantung lesen pengendali Era FM berhubung video yang dikatakan mempersenda tarian Thaipusam kavadi adalah ‘keras’, menurut timbalan presiden MIC.

M Saravanan berkata kesalahan itu dilakukan oleh tiga hos radio, dan bukannya semua kakitangan.

Beliau mengingatkan bahawa stesen radio itu telah memohon maaf secara terbuka dan menggantung tiga hos yang dipaparkan dalam video kontroversi itu serta dua lagi kakitangan.

“Kami bimbang penggantungan stesen radio itu akan menjejaskan kehidupan ramai orang.

“Adalah tidak adil kakitangan stesen radio lain menderita kerana kesalahan tiga pekerja, terutama pada bulan Ramadan yang mulia,” kata Ahli Parlimen Tapah itu dalam kenyataan.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menyerahkan notis niat bagi penggantungan lesen kepada stesen radio Era FM, semalam.

SKMM memaklumkan pemegang lesen diberi tempoh 30 hari untuk mengemukakan maklum balas sebelum sebarang keputusan diambil.

Saravanan berkata hos terbabit melakukan salah langkah yang serius demi mencipta kandungan tetapi kini sedang menghadapi kesannya.

“Niat mereka mungkin bukan untuk mencetuskan huru-hara atau permusuhan tetapi kita mesti biar proses undang-undang berjalan lancar supaya kejadian seperti itu tidak berulang,” tambahnya.

Pada Selasa, polis memaklumkan kakitangan stesen radio itu disiasat mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.