

Presiden Persatuan Haiwan Malaysia, Arie Dwi Andika, berkata SOP ‘tidak seragam’ dibuat setiap PBT mendorong kegagalan isu kebajikan hidupan itu ditangani sehingga kini.
“Undang-undang PBT yang patut dipinda, bukan Akta Kebajikan Haiwan.
“Ia perlu merangkumi penjelasan kriteria dan keadaan haiwan jalanan yang boleh dilupuskan serta cara pengurusan haiwan terbiar yang dilepaskan semula selepas ditangkap,” katanya kepada FMT.
‘Trap-Neuter-Return’ bukan pendekatan baik
Arie berkata, kajian lebih mendalam mengenai impak sosial kaedah Trap-Neuter-Return (TNR) perlu dibuat terlebih dahulu dengan mengambil kira kalangan masyarakat yang bukan pencinta haiwan.
“Perlu kaji berapa tangkapan setiap PBT pada setiap tahun dan impaknya jika tiada pelupusan. Adakah anjing jalanan yang mungkin mencecah berapa juta ini boleh dibiarkan berkeliaran? Apa kesan kepada masyarakat?
“Siapa menampung kos ini untuk kerajaan sediakan vaksin dan sebagainya? Berapa kerajaan boleh bantu?” soalnya.
Katanya, isu haiwan perlu ditangani secara matang dan bukan hanya mengikut kehendak satu pihak yang akhirnya membawa keadaan lebih buruk daripada sekarang.
Beliau memberi contoh di Turki sebelum ini menggunakan pendekatan TNR, akhirnya membatalkan undang-undang itu kerana gagal mencegah aktiviti pembunuhan haiwan jalanan, malah kerajaan turut mengalami defisit akibat bebanan kewangan dihadapi.
“Selain itu, terdapat juga ancaman keselamatan seperti serangan anjing-anjing liar, penyakit alahan, dan isu kebersihan yang akhirnya menimbulkan kekacauan dan mengganggu ketenteraman awam di Turki,” katanya.
Kerjasama ‘shelter’ berdaftar, DVS
Mengulas lanjut, Arie mencadangkan supaya pusat setempat atau ‘shelter’ berdaftar bersama Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) untuk menetapkan piawaian dan kompetensi bagi pengurusan haiwan jalanan yang lebih baik.
“Misalnya, ada sistem pembetungan, kuarantin mahupun sistem rawatan yang baik. Mungkin kerajaan boleh memberi bantuan kewangan sekiranya memenuhi syarat ditetapkan,” katanya sambil menambah pendaftaran wajib dibuat bawah NGO dan bukan syarikat yang ingin mengaut keuntungan.
“Ia juga tidak boleh mengumpul haiwan secara terlonggok dan perlu aktif melakukan adopsi,” katanya.
Sebelum ini, gabungan NGO haiwan berhimpun di hadapan bangunan Parlimen bagi menggesa kerajaan meminda Akta Kebajikan Haiwan dan menambah baik pengurusan haiwan terbiar dengan kaedah TNR.
Perhimpunan dihadiri lebih 100 orang itu menyaksikan Presiden Persekutuan Hak Asasi Manusia Global (GHRF) S Shashi Kumar menyerahkan memorandum kepada Ahli Parlimen Kampar Chong Zhemin.