RUU Perkhidmatan Parlimen lulus

RUU Perkhidmatan Parlimen lulus

RUU itu diluluskan Dewan Rakyat dengan suara majoriti.

dewan-rakyat
RUU Perkhidmatan Parlimen 2025 bertujuan menubuhkan perkhidmatan Parlimen sebagai suatu entiti berasingan daripada perkhidmatan awam. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Rang Undang-undang Perkhidmatan Parlimen 2025 yang bertujuan mereformasi dan menambah baik institusi demokrasi utama negara diluluskan Dewan Rakyat.

RUU itu yang dibentangkan untuk bacaan kali kedua semalam oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said diluluskan dengan suara majoriti.

Sebelum itu, seramai 35 wakil rakyat membahaskan RUU tersebut di Dewan Rakyat.

Semalam, RUU Perlembagaan (Pindaan) 2025 yang menjadi asas kepada penggubalan RUU Perkhidmatan Parlimen 2025 diluluskan di Dewan Rakyat.

RUU itu peroleh sokongan majoriti Ahli Parlimen pada bacaan kedua dan ketiga, selepas undi belah bahagi dilakukan.

Seramai 148 wakil rakyat bersetuju untuk meluluskan RUU itu, manakala 57 memilih untuk tidak mengundi dan 17 tidak hadir.

RUU Perkhidmatan Parlimen 2025 bertujuan menubuhkan perkhidmatan Parlimen sebagai suatu entiti berasingan daripada perkhidmatan awam.

RUU itu dibentangkan bagi bacaan kali pertama di Dewan Rakyat pada 24 Feb lalu.

Selepas pemansuhan Akta Perkhidmatan Parlimen 1966, Parlimen diletakkan bawah Jabatan Perdana Menteri dengan seorang menteri mengawasi atau menyelia pentadbiran institusi itu.

RUU itu membuka lembaran baharu dalam memperkukuh institusi Parlimen serta membuktikan komitmen kerajaan Madani terhadap reformasi institusi melalui pemisahan kuasa antara eksekutif, legislatif dan kehakiman.

Semalam, Azalina berkata Malaysia terus mengorak langkah memperkukuh sistem demokrasi berperlembagaan dengan memperkenalkan semula RUU Perkhidmatan Parlimen 2025.

Azalina berkata, Akta Perkhidmatan Parlimen 1966 yang dimansuhkan pada 1992 perlu dikembalikan bagi memastikan Parlimen berfungsi secara bebas daripada cabang eksekutif serta melaksanakan tanggungjawabnya selaras amalan negara maju.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.