Rosmah pening kepala, rayuan ketepi hakim ditangguhkan 15 Mei

Rosmah pening kepala, rayuan ketepi hakim ditangguhkan 15 Mei

Peguam Rosmah Mansor, Jagjit Singh berkata anak guamnya terpaksa bergegas ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

Rosmah Mansor
Rosmah Mansor merayu mengenepikan Hakim Zaini Mazlan untuk mendengar rayuan berhubung kes rasuah projek tenaga solar sekolah luar bandar Sarawak. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Mahkamah Rayuan menangguhkan pendengaran permohonan Rosmah Mansor untuk mengetepikan hakim perbicaraan dalam kes rasuah projek tenaga solar RM1.25 bilion di Sarawak selepas beliau dilaporkan tidak sihat.

Panel tiga hakim yang dipengerusikan Hakim Ahmad Zaidi Ibrahim menetapkan 15 Mei sebagai tarikh baharu bagi pendengaran rayuan tersebut.

Rosmah, isteri bekas Perdana Menteri Najib Razak, hadir di galeri awam mahkamah bersama beberapa pembantu.

Namun, sebaik prosiding bermula, peguam utamanya, Jagjit Singh, memaklumkan bahawa anak guamnya terpaksa bergegas ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

“Beliau hadir tetapi mengalami pening kepala. Rosmah menghidap diabetes dan tekanan darah tinggi,” katanya

Rosmah memohon Hakim Zaini Mazlan menarik diri daripada mendengar kesnya selepas beliau mensabitkanya bersalah atas tiga pertuduhan rasuah dan menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun serta denda RM970 juta.

Timbalan Pendakwa Raya K Mangai tidak membantah permohonan penangguhan terbabit.

Zaidi mencadangkan permohonan penarikan diri hakim dan rayuan terhadap sabitan serta hukuman didengar serentak bagi menjimatkan masa.

Namun, Jagjit berhujah bahawa jika rayuan untuk mengenepikan hakim diterima, kes perlu dibicarakan semula.

“Sabitan dan hukuman akan terbatal secara automatik,” katanya.

Di luar mahkamah, peguam Rosmah, Akberdin Abdul Kader, berkata anak guamnya sudah berasa tidak sihat sebelum hadir ke mahkamah.

“Kami menasihatinya untuk tetap hadir kerana mahkamah tidak akan membenarkan beliau tidak hadir tanpa alasan kukuh,” katanya.

Dalam prosiding jenayah, kehadiran tertuduh atau perayu adalah wajib.

Pada 1 September 2022, Zaini yang kini Hakim Mahkamah Rayuan menolak permohonan saat akhir Rosmah untuk menarik diri daripada mendengar kesnya.

Rosmah sebelum ini mendakwa beliau hilang kepercayaan terhadap Zaini selepas draf penghakimannya didakwa bocor dan disiarkan oleh blogger Raja Petra Kamarudin.

Mahkamah mendapati Rosmah bersalah meminta suapan RM187.5 juta daripada bekas Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd, Saidi Abang Samsudin, melalui bekas pembantu khasnya, Rizal Mansor, sebagai dorongan membantu syarikat itu memperoleh projek tenaga solar bagi sekolah luar bandar di Sarawak.

Beliau juga disabitkan bersalah menerima rasuah RM5 juta daripada Saidi melalui Rizal di Seri Perdana, Putrajaya, pada 20 Disember 2016, serta menerima RM1.5 juta daripada Saidi di Jalan Langgak Duta pada 7 September 2017.

Zaini menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun bagi setiap pertuduhan yang perlu berjalan serentak. Jika gagal membayar denda RM970 juta, Rosmah bakal menjalani tambahan 10 tahun penjara.

Beliau bagaimanapun dibenarkan bebas dengan jaminan sementara menunggu keputusan rayuannya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.