
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Ramli Mohamed Yoosuf, berkata pihaknya menerima laporan daripada mangsa lelaki berusia 34 tahun pada 19 Feb lalu.
Katanya, pengadu mendakwa berkenalan dengan suspek sekitar Jun 2020 yang menawarkan untuk menjual kereta itu.
“Pengadu beberapa kali berjumpa suspek dan turut memandu uji sebuah kereta jenis sama di sebuah syarikat permotoran beralamat di Puchong, Selangor, dan ditunjukkan borang import kastam bagi membuktikan kereta ingin dibelinya diimport,” katanya dalam sidang media di Menara KPJ.
Ramli berkata, sejak 15 Jun 2020 pengadu membuat 18 kali bayaran ke akaun syarikat diberikan suspek dengan keseluruhan berjumlah RM2.4 juta.
Katanya, bagaimanapun pada Januari 2022 pengadu menerima beberapa gambar dokumen notis sitaan kereta ingin dibelinya itu.
“Suspek berjanji akan menyelesaikan masalah itu dan menguruskan pendaftaran serta pindah milik, namun sehingga kini mangsa tidak menerima kereta dijanjikan malah suspek juga menghilangkan diri dan tidak dapat dihubungi,” katanya.
Justeru, polis meminta orang ramai yang mengenali atau mempunyai maklumat mengenai suspek beralamat terakhir di Pangsapuri Sri Indah, Taman Sungai Besi, Seri Kembangan, menghubungi Pegawai Penyiasat Ruzanna Khairion di talian 010 4425916 untuk membantu siasatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Sementara itu, Ramli menafikan dakwaan polis tidak melakukan siasatan berhubung penipuan pelaburan TriumphFX.
Katanya, sehingga kini lima individu disyaki pemilik keldai akaun ditahan bagi membantu siasatan dengan polis menerima 80 laporan membabitkan kerugian RM24,813,086.47 berkaitan penipuan pelaburan itu.
Pada 24 Feb lalu media melaporkan 77 individu mendakwa menjadi mangsa penipuan sebuah syarikat pelaburan dipercayai didalangi rakyat tempatan dengan menggunakan kira-kira 30 syarikat berperanan sebagai ‘local depositor’.
Mereka mendakwa, syarikat itu berdaftar di Seychelles, Afrika, mencari mangsa melalui ejen dan wakil syarikat dan membuat penerangan secara dalam talian dengan menjanjikan pulangan 7% sebulan.