Penjawat awam P Pinang dapat bonus raya minimum RM1,000

Penjawat awam P Pinang dapat bonus raya minimum RM1,000

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata bantuan khas kewangan berjumlah RM7.81 juta itu akan memanfaatkan 7,066 penerima.

Chow Kon Yeow
Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata bantuan khas kewangan itu akan disalurkan mulai 19 Mac sebagai tanda penghargaan kepada penjawat awam dalam menjayakan aspirasi negeri. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kerajaan Pulau Pinang meluluskan bantuan khas kewangan (BKK) setengah bulan gaji atau minimum RM1,000 kepada penjawat awam negeri sempena sambutan Aidilfitri tahun ini.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow, berkata BKK akan disalurkan mulai 19 Mac ini sebagai tanda penghargaan kepada penjawat awam berkhidmat dengan penuh dedikasi dalam menjayakan aspirasi negeri.

Pada masa sama, katanya, kerajaan negeri akan menyalurkan BKK RM300 kepada penyelia, guru serta kakitangan Kelas al-Quran dan Fardu Ain (Kafa), sekolah rendah agama rakyat, sekolah menengah agama rakyat, sekolah agama bantuan kerajaan, tahfiz, pondok, tadika Islam serta sekolah persendirian Cina di Pulau Pinang.

“Pemberian ini juga akan dipanjangkan kepada semua pihak berkuasa tempatan serta badan berkanun negeri, tertakluk kepada kemampuan kewangan masing-masing,” katanya menurut Sinar Harian.

Beliau berkata, BKK berjumlah RM7.81 juta itu akan memanfaatkan 7,066 penerima di Pulau Pinang, sejajar usaha kerajaan negeri merealisasikan Visi Penang2030 ke arah menjadi negeri pintar dan hijau berteraskan keluarga inspirasi negara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.