Pelabur O&G mahu kejelasan di sebalik pertikaian Petronas-Petros, kata ahli ekonomi

Pelabur O&G mahu kejelasan di sebalik pertikaian Petronas-Petros, kata ahli ekonomi

Afzanizam Rashid menegaskan pelabur minyak dan gas memerlukan kepastian mengenai rangka kerja peraturan yang mengawal selia projek di Sarawak.

petronas petros
Walaupun kedua-dua pihak mencapai kata sepakat dalam beberapa perkara, kenyataan Premier Sarawak Abang Johari Openg terus meningkatkan kebimbangan.
PETALING JAYA:
Seorang ahli ekonomi memberi amaran bahawa pelabur asing mahu kejelasan mengenai rangka kerja peraturan yang mengawal selia projek minyak dan gas (O&G) di Sarawak, ketika Putrajaya dan negeri itu masih berusaha mencapai kata sepakat mengenai penerokaan sumber hidrokarbon.
Afzanizam Rashid
Afzanizam Rashid.

Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Afzanizam Rashid berkata langkah terbaru Putrajaya dan Sarawak mendukung keutamaan Akta Pembangunan Petroleum 1974 (PDA) serta mengiktiraf Petroleum Sarawak Bhd (Petros) sebagai agregator gas tunggal disifatkan ‘langkah ke arah yang betul’.

Walaupun ada kesepakatan dalam isu itu, perincian pelaksanaannya masih samar dan ini menimbulkan kebimbangan dalam kalangan syarikat utama O&G, penyedia perkhidmatan dan pelabur.

“Butiran (pelaksanaan) masih kurang jelas ketika ini.

“Dalam mana-mana rundingan, ia melibatkan beberapa tawar-menawar supaya kedua-dua pihak dapat mencapai matlamat bersama dan bekerjasama,” kata Afzanizam kepada FMT.

anwar ibrahim
Anwar Ibrahim.

Baru-baru ini, Perdana Menteri Anwar Ibrahim memberitahu Dewan Rakyat bahawa kerajaan persekutuan dan Sarawak bersetuju membenarkan Petronas dan anak syarikatnya mengekalkan semua kontrak sedia ada, sama ada di peringkat domestik mahupun antarabangsa.

Dalam menjelaskan hak Sarawak untuk meneroka sumber minyak dan gasnya, Anwar berkata kedua-dua kerajaan mengiktiraf PDA sebagai undang-undang persekutuan.

Susulan itu, Premier Sarawak Abang Johari Openg berkata Petronas dan Petros akan bekerjasama demi kepentingan negeri dan negara.

Namun, beliau menegaskan bahawa kepentingan Sarawak akan diutamakan.

Abang Johari Openg
Abang Johari Openg.

Beliau turut mengesahkan bahawa kontrak sedia ada Petronas akan diteruskan, tetapi mesti selari dengan rangka kerja peraturan Sarawak serta ‘tidak boleh menjejaskan peranan Petros sebagai agregator gas’.

Bagaimanapun, tidak jelas bagaimana ketetapan itu akan memberi kesan kepada kontrak eksport semasa Petronas.

Keadaan menjadi lebih rumit apabila Sarawak bercadang mendapatkan hak meneroka gas di kawasan luar pantainya serta di pelantar benua.

Lebih penjelasan diperlukan 

Afzanizam berkata syarikat O&G sama ada tempatan atau antarabangsa, sudah tentu mahukan lebih kepastian mengenai projek dalam dan luar pesisir Sarawak.

“Adalah penting bagi pelabur memahami parameter ditetapkan, terutamanya kawasan mana memerlukan kelulusan daripada pihak berkuasa berkaitan.

Persaingan untuk menarik pelabur asing bukan sahaja bergantung kepada insentif cukai tetapi juga tahap birokrasi.

“Oleh itu, kelulusan lebih pantas dan tempoh memulakan projek turut menjadi faktor utama. Ini bermakna pelabur mahu kerajaan memberi lebih penjelasan,” katanya.

Ketidaktentuan dalam sektor O&G Sarawak semakin ketara dengan tindakan mahkamah diambil syarikat minyak Britain, Shell melalui anak syarikatnya di Malaysia, Shell MDS (Malaysia) Sdn Bhd, terhadap Petronas dan Petros.

Pada Januari lalu, Mahkamah Tinggi memberikan injunksi sementara kepada Shell MDS, yang menghalang pembayaran berjuta-juta ringgit bagi bekalan gas asli di Bintulu.

Shell Malaysia, yang beroperasi di Sarawak selama 115 tahun, bimbang risiko gangguan bekalan gas ke loji gas-ke-cecair miliknya yang dikendalikan Shell MDS di Bintulu.

Ini susulan insiden September tahun lalu apabila Shell MDS menerima invois daripada Petronas dan Petros bagi bekalan gas untuk bulan Ogos.

Shell MDS berpendapat konflik mengenai hak pengedaran gas di Sarawak boleh menyebabkan pembayaran berganda serta gangguan operasi di Bintulu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.