Lelaki kurang siuman ditahan pukul jururawat hingga terima 4 jahitan

Lelaki kurang siuman ditahan pukul jururawat hingga terima 4 jahitan

Polis berkata suspek dihantar ke HKL dan ditahan di wad psikiatri untuk pemantauan lanjut.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Sulizmie Affendy Sulaiman
Ketua Polis Dang Wangi Sulizmie Affendy Sulaiman berkata suspek ditahan di sekitar lokasi kejadian pada malam Sabtu lalu dan sebilah pisau pemotong kertas turut dirampas. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seorang lelaki kurang siuman ditahan kerana memukul seorang jururawat sehingga terpaksa menerima empat jahitan di kepala minggu lalu.

Jururawat Hospital Kuala Lumpur (HKL) itu dipukul ketika berjalan kaki ke hentian bas di depan sebuah hotel di Jalan Pahang pada 5.10 petang Jumaat lalu.

Ketua Polis Dang Wangi, Sulizmie Affendy Sulaiman, berkata wanita itu dalam laporannya menyatakan dia dipukul di belakang kepala oleh seorang lelaki menggunakan objek keras.

Beliau berkata, suspek ditahan di sekitar lokasi kejadian pada malam Sabtu lalu dan sebilah pisau pemotong kertas dalam milikannya turut dirampas. Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati suspek kurang siuman dan tiada dokumen pengenalan diri ditemui bersamanya, selain gagal mengemukakan butiran dirinya secara lisan.

“Suspek dihantar ke HKL dan ditahan di wad psikiatri untuk pemantauan selanjutnya,” katanya menurut Harian Metro sambil menambah mangsa menerima empat jahitan di kepala.

Beliau menasihatkan orang ramai sentiasa berhati-hati dan menyalurkan maklumat kepada polis jika mengesan pergerakan mencurigakan yang mungkin mengancam keselamatan diri.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.