
Saravanan berkata, komen Zamri yang dimuat naik di Facebook ‘sangat biadab dan menyinggung perasaan masyarakat Hindu’.
“Ini jelas bertentangan dengan pendirian kerajaan Madani dalam perkara 3R (kaum, agama dan institusi diraja).
“Banyak aduan polis telah dibuat terhadapnya. Polis dan kerajaan mesti ambil tindakan terhadapnya sekaligus (menghentikan tindakannya),” kata Ahli Parlimen Tapah itu.
Dalam hantaran di Facebook petang tadi, Zamri berkata, penganut Hindu sendiri ‘sebut Vel Vel sambil menari-nari macam orang kena rasuk sambil mabuk todi’.
“Apa yang korang buat itulah yang orang lain nampak dan ikut, tapi bila orang ikut apa yang korang sendiri buat (tiba-tiba) marah pula?
“Kalau marah, lain kali jangan buat perkara yang menjadi contoh ikutan orang!” katanya.
Zamri berkata demikian susulan kontroversi baru-baru ini membabitkan tiga penyampai radio Era FM, yang hebat dikecam kerana mempersenda upacara kavadi.
Dalam klip video yang dikongsi di platform media sosial stesen itu, mereka dilihat melaungkan ‘Vel Vel’ sambil ketawa, mengiringi ‘tarian’ salah seorang penyampai radio.
Astro Audio kemudian menggantung tugas tiga penyampai terbabit, serta dua lagi kakitangan berhubung kontroversi itu.
Saravanan berkata, komen Zamri ialah penghinaan terhadap kepercayaan Hindu dan tradisi budaya Malaysia.
Beliau turut menggesa Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail mengeluarkan arahan agar Zamri didakwa segera.
“Ini bukan kali pertama pendakwah kontroversi itu hina agama Hindu,” katanya.