
Agensi itu berkata Jabatan Peguam Negara (AGC) telah memberi keizinan mengenakan kompaun terbabit di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 berdasarkan peruntukan sebelum pindaan akta berkuat kuasa pada 11 Feb lalu.
“Selepas menerima permohonan daripada MCMC, Meta telah menurunkan kandungan tersebut setelah ianya didapati melanggar garis panduan komuniti Facebook.
“Selain itu, permohonan penutupan akaun Facebook milik kedua-dua individu terbabit juga telah dibuat. Permohonan tersebut kini dalam penelitian dan penilaian pihak Meta,” katanya dalam kenyataan.
Lebih 16 laporan dibuat terhadap Harith dan Yap, yang didakwa menghina Islam dan Nabi Muhammad menerusi kenyataan mereka di media sosial.
Hantaran mereka itu susulan kontroversi penjualan sandwic ham yang didakwa tidak mempunyai sijil halal di sebuah kedai serbaneka di Universiti Malaya.
Yap meninggalkan komen pada hantaran Facebook oleh Harith, yang sedang disiasat kerana bergurau bahawa imannya goyah selepas melihat menu yang mengiklankan ‘kop ham sap’ kerana ia mengandungi perkataan ‘ham’.
Beliau memohon maaf pada 27 Jan kerana membuat kenyataan tidak sensitif terbabit.
Terdahulu, Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh menggesa pihak berkuasa memberikan perkembangan terkini mengenai siasatan terhadap Harith dan Yap.