Jaga tindakan, tutur kata elak polemik 3R, PM beri teguran

Jaga tindakan, tutur kata elak polemik 3R, PM beri teguran

Anwar Ibrahim mengingatkan semua pihak tidak menggugat keharmonian negara dan menghayati prinsip Rukun Negara.

Perdana menteri menekankan kepentingan seluruh rakyat untuk mendakap kemas prinsip Rukun Negara selaku asas perpaduan yang harus dihayati dan diamalkan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Perdana Menteri Anwar Ibrahim memberi teguran kepada semua pihak supaya menjaga tindakan dan pertuturan bagi mengelakkan polemik 3R (raja, agama, kaum).

Amaran itu diberikan selepas kontroversi melibatkan penyampai radio 3 Pagi Era Nabil Ahmad, Azad Jasmin dan Radin Amir Affendi Ahmad Aruani mempersenda tarian kavadi Hindu melalui rakaman video yang dimuat naik di platform media sosial stesen radio itu.

Setiausaha Akhbar Kanan Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah, berkata Anwar mahu tindakan yang menggugat keharmonian negara itu tidak seharusnya berulang dan setiap individu wajar mengutamakan sikap hormat-menghormati dan berkasih sayang dalam bermasyarakat.

“Perdana menteri juga menekankan kepentingan seluruh rakyat untuk mendakap kemas prinsip Rukun Negara selaku asas perpaduan yang harus dihayati dan diamalkan.

“… untuk kita bersama mempertahan keharmonian serta menolak usaha dan tindakan yang boleh memecah belah perpaduan nasional,” katanya dalam taklimat harian Pejabat Perdana Menteri.

Terdahulu, Astro Audio menggantung tiga penyampai berkenaan serta dua lagi kakitangan susulan kontroversi rakaman video mempersenda tarian kavadi Hindu.

Dalam kenyataan, Astro Audio berkata keputusan itu dibuat selepas CEO dan pengurusan tertinggi syarikat itu mengadakan perjumpaan bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) hari ini.

Dalam hantaran di akaun Instagram Era FM, Nabil, Azad dan Radin memohon maaf atas video tersebut dan mengakui mereka tidak sensitif, terutama kepada masyarakat India.

Video yang telah diturunkan dalam platform media sosial stesen itu, memaparkan seorang penyampai meniru tarian kavadi, sambil menyebut ‘Vel Vel’ disusuli gelak tawa.

Klip itu mengundang kritikan meluas dengan kebanyakan ia berupa penghinaan kepada tradisi Hindu iaitu upacara suci dilakukan ketika Thaipusam kepada Dewa Murugan.

Ia mencetuskan reaksi keras daripada Timbalan Presiden MIC yang juga Ahli Parlimen Tapah, M Saravanan, yang menuntut permohonan maaf terbuka termasuk menyeru kerajaan mengambil tindakan terhadap Era FM.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, berkata pihaknya menerima aduan daripada pelbagai pihak berhubung tindakan kakitangan stesen radio terbabit.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.