Al-Sultan Abdullah nasihat rakyat waspada pencemaran udara di Kuantan

Al-Sultan Abdullah nasihat rakyat waspada pencemaran udara di Kuantan

Sultan Pahang meminta rakyat menghentikan kegiatan luar buat sementara, termasuk aktiviti membabitkan pelajar sekolah di kawasan sekitar.

Kebakaran ladang
Keadaan ladang kelapa di belakang Taman Perindustrian Malaysia-China Kuantan Gebeng yang terbakar semalam. (Gambar JBPM Pahang)
PETALING JAYA:
Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah bimbang dengan pencemaran udara di Balok Baru, Kuantan susulan kebakaran ladang kelapa dekat Jalan Pintasan Kuantan-Sungai Ular.

Pengelola Bijaya Diraja Utama Sultan Pahang, Mohamed Zahari Yahya, berkata bacaan indeks pencemaran udara (IPU) di kawasan itu ialah 251 setakat 2 petang semalam.

“Baginda berharap semua penduduk yang tinggal di kawasan terlibat dan sekitar, terutama mereka yang mempunyai masalah pernafasan lebih berhati-hati agar tidak menerima kesan langsung akibat pencemaran udara tersebut.

“Al-Sultan Abdullah juga meminta kegiatan luar dihentikan buat masa ini bagi mengelak sebarang masalah kesihatan, termasuk aktiviti melibatkan pelajar sekolah di kawasan berkenaan,” katanya menurut Sinar Harian.

Beliau berkata, baginda turut mengingatkan rakyat tidak melakukan pembakaran terbuka, khasnya pada musim panas dan berangin ketika ini.

Jabatan Alam Sekitar Pahang memaklumkan bacaan IPU di Balok Baru menunjukkan perkembangan agak positif daripada IPU sangat tidak sihat semalam kepada tidak sihat, iaitu 188 setakat 9 pagi tadi.

Kawasan Indera Mahkota dan tiga kawasan lain di Pahang pula dikategorikan tahap sederhana.

Terdahulu, media melaporkan ladang kelapa seluas 75.67 hektar di belakang Taman Perindustrian Malaysia-China Kuantan Gebeng terbakar sejak 22 Feb lalu.

Daripada keseluruhan kawasan terbakar, 66.77 hektar sudah dipadamkan dan usaha memadam baki kawasan terbakar seluas kira-kira 8.9 hektar masih diteruskan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.