
Peguam Shafee Abdullah, yang mewakili Najib, memaklumkan kepada mahkamah bahawa bakal saksi – bekas peguam 1MDB – tidak menerima pengecualian keistimewaan peguam cara – anak guam.
Beliau berkata, keistimewaan itu adalah milik 1MDB, yang kini diketuai oleh Ketua Setiausaha Perbendaharaan Johan Mahmood Merican, dan pelepasan mesti datang daripada syarikat itu.
“Seorang daripada mereka (peguam) sebelum ini memberi pendapat undang-undang,” katanya.
Bagaimanapun, Shafee tidak menamakan dua individu itu.
Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib, memberitahu mahkamah menurut peguam 1MDB, Johan akan menandatangani pengecualian itu selewat-lewatnya hari ini.
Hakim Collin Lawrence Sequerah kemudian mengarahkan pihak pendakwaan dan pembelaan memaklumkan mahkamah mengenai status perkara itu esok.
Sementara itu, bekas pengerusi 1MDB Che Lodin Wok Kamaruddin meneruskan keterangannya hari ini.
Beliau menegaskan tidak bertindak sebagai ‘proksi’ Najib dalam syarikat tersebut dan tidak dilantik untuk memastikan semua keputusan yang dibuat oleh perdana menteri ketika itu dilaksanakan.
Dalam pemeriksaan balas pihak pendakwaan, Lodin bersetuju bahawa 1MDB tidak boleh mengambil pinjaman USD975 juta tanpa kelulusan Najib.
Najib dibicarakan atas 25 pertuduhan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram ke atas dana berjumlah RM2.28 bilion didepositkan dalam akaun AmBank miliknya antara Februari 2011 dan Disember 2014.