
Bercakap semasa perhimpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri, beliau perhatikan ada agensi kerajaan sudah memulakan sumbangan Ramadan namun ‘ia agak berlebihan’.
“Saya perhatikan perkakasan itu agak berlebihan, kotak-kotak yang sangat indah… nak isi kurma (tetapi) kalau harga kotak lagi mahal dari kurma, itu satu pembaziran.
“Tak perlu tunjuk sangat kemewahan kerana dana itu boleh digunakan untuk mereka yang lebih memerlukan. Itu sebagai peringatan,” katanya di Putrajaya.
Sementara itu, Anwar yang juga menteri kewangan menyeru kakitangan awam meneliti sesi perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Iltizam Kecekapan Pentadbiran Awam yang akan dibentangkan di Parlimen minggu ini.
“Kita harap penjawat awam akan teliti kerana ia akan dibahaskan minggu ini juga. Saya tegur kerana keputusan-keputusan ini tak sampai di bawah, jadi ada keresahan.
“Keputusan dalam Jemaah Menteri patut disampaikan kepada semua, tidak hanya terikat dengan jabatan mereka saja sebab ia terkait dengan setiap penjawat awam,” katanya.
Pada November tahun lalu, Ketua Setiausaha Negara Shamsul Azri Abu Bakar berkata RUU itu merupakan sebahagian usaha kerajaan untuk meningkatkan kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah dengan menambah baik proses pentadbiran kerajaan secara menyeluruh.