DAP, SUPP bertegang urat hal akta petroleum

DAP, SUPP bertegang urat hal akta petroleum

Sayap Pemuda kedua-dua parti itu saling menuduh masing-masing tukar pendirian berhubung PDA.

oil rig petronas
Menurut Sarawak, ia mengekalkan haknya untuk mengeksploitasi rizab petroleumnya bawah OMO, yang mengatasi PDA. (Gambar AFP)
PETALING JAYA:
Sayap-sayap Pemuda DAP dan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) saling menuduh masing-masing berbolak-balik dengan pendirian berhubung undang-undang persekutuan di tengah-tengah pertikaian hak minyak dan gas negeri itu.

Pemuda SUPP Kuching mendakwa Ketua DAP Sarawak Chong Chieng Jen sebelum ini mengakui kesahihan Akta Kemajuan Petroleum (PDA) 1974, apabila beliau mencadangkan negeri itu membeli saham Petronas, lapor Borneo Post.

Morgan Kon daripada Pemuda SUPP Kuching dilaporkan berkata, Chong pada 2018 menggesa kerajaan Sarawak membeli saham Petronas, dengan mendakwa ia akan menjadi pelaburan paling berbaloi bagi negeri itu.

Kon tertanya-tanya mengapa Chong kini membantah PDA dan menuduh kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) melepaskan hak Sarawak.

“DAP sebagai parti terbesar dalam kerajaan Pakatan Harapan (PH) berada pada kedudukan yang bagus untuk memperjuangkan lebih banyak hak cukai bagi Sarawak,” katanya.

Dalam pada itu, Pemuda DAP Sarawak mendakwa SUPP mengubah pendiriannya tentang PDA.

Setiausahanya, George Lam mendakwa SUPP pada mulanya menolak PDA malah mengisytiharkannya tidak sah, tetapi kemudian mengiktirafnya dengan mengesahkan kewujudan kedua-dua PDA dan Ordinan Perlombongan Minyak (OMO) 1958.

“Ini keterlaluan bagi rakyat Sarawak. Dengan berbuat demikian, Sarawak kehilangan kuasa tawar-menawarnya dan tidak dapat mencapai kemajuan dalam menuntut semula kuasanya yang sah,” kata Lam, lapor Borneo Post.

Katanya lagi, beliau berpandangan bahawa serangan pemimpin SUPP terhadap DAP ialah percubaan ‘mengelirukan orang ramai dan mengelak akauntabiliti’.

Bulan lepas, Chong menuduh kerajaan negeri menyerahkan semula hak petroleumnya kepada kerajaan persekutuan, selepas Dewan Rakyat diberitahu bahawa Sarawak telah mengiktiraf PDA sebagai undang-undang yang mentadbir industri petroleum Malaysia.

Chong berhujah, penggubalan undang-undang itu pada 1974 ialah kekalahan pertama Sarawak dalam memperjuangkan hak minyak dan gasnya.

Menurut Sarawak, ia mengekalkan haknya untuk mengeksploitasi rizab petroleumnya bawah OMO, yang mengatasi PDA. Negeri itu juga mengenakan cukai jualan negeri terhadap Petronas.

Bagaimanapun, Perdana Menteri Anwar Ibrahim memberitahu Dewan Rakyat bulan lepas, kedua-dua kerajaan persekutuan dan negeri telah mengiktiraf PDA sebagai undang-undang persekutuan, dan bersetuju bahawa Petronas dan anak syarikatnya mengekalkan semua kewajipan kontrak sedia ada.

Premier Sarawak Abang Johari Openg kemudiannya berkata, negeri itu juga berhasrat menuntut haknya meneroka gas di kawasan luar pesisir dan di pelantar benua.

Pada Sabtu lepas, setiausaha publisiti Pemuda SUPP Kuching Hilary Lim mencabar Chong memperjuangkan hak minyak dan gas negeri itu di mahkamah.

Lim berkata, Chong patut memfailkan saman dan membiarkan mahkamah menentukan keperlembagaan PDA.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.