SJPP, SJKP beri akses pembiayaan inklusif kepada sektor gig

SJPP, SJKP beri akses pembiayaan inklusif kepada sektor gig

Menteri kewangan II berkata ribuan perniagaan dan individu menghadapi kesukaran mendapatkan kelulusan pinjaman amat diperlukan bagi kembang perniagaan atau memiliki rumah.

sop kilang
Sejak diperkenalkan Skim Jaminan Pembiayaan Perniagaan telah memudahkan jumlah pembiayaan PKS sebanyak RM102 bilion, memberi manfaat kepada 75,000 pemilik perniagaan kecil.
PUTRAJAYA:
Ketahanan dan kemajuan ekonomi Malaysia bergantung kepada akses pembiayaan inklusif — sesuatu yang mudah dianggap remeh oleh mereka yang bekerja dalam sektor formal, kata Menteri Kewangan II Amir Hamzah Azizan.

Beliau berkata, ribuan perniagaan dan individu menghadapi kesukaran untuk mendapatkan kelulusan pinjaman yang amat diperlukan bagi mengembangkan perniagaan atau memiliki rumah sendiri.

“Melalui program seperti Skim Jaminan Pembiayaan Perniagaan dan Skim Jaminan Kredit Perumahan, kerajaan telah mengambil langkah proaktif untuk memperkasakan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), memperkukuh perusahaan bumiputera dan menyokong pembeli rumah pertama dengan menyediakan jaminan kerajaan bagi mendapatkan pinjaman kewangan,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi hantaran di platform Instagram rasminya.

Sejak diperkenalkan, Skim Jaminan Pembiayaan Perniagaan bawah Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan Bhd (SJPP) telah memudahkan jumlah pembiayaan PKS sebanyak RM102 bilion, memberi manfaat kepada 75,000 pemilik perniagaan kecil, katanya.

Beliau berkata, Skim Jaminan Kredit Perumahan bawah Syarikat Jaminan Kredit Perumahan Bhd (SJKP) pula telah memberi manfaat kepada 76,000 pembeli rumah pertama mendapatkan pinjaman perumahan berjumlah RM17.8 bilion secara keseluruhan.

“Angka ini membuktikan keberkesanan inisiatif kerajaan yang disasarkan serta permintaan yang tinggi untuk sokongan pembiayaan ini,” katanya.

Amir berkata, Belanjawan 2025 telah memperuntukkan tambahan sejumlah RM20 bilion dalam bentuk jaminan melalui SJPP untuk pembiayaan PKS khususnya dalam sektor halal, teknologi tinggi, alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) serta pelancongan.

Beliau berkata daripada jumlah itu, RM5 bilion diperuntukkan khas kepada perniagaan bumiputera dalam usaha memastikan peluang pertumbuhan yang lebih adil dan saksama.

Tambahan RM10 bilion dalam bentuk jaminan bawah SJKP bagi 2025 akan membantu lebih ramai pekerja gig, pemilik perniagaan kecil dan pekerja sektor tidak formal mendapatkan pinjaman perumahan, katanya.

“Ini dijangka memberi manfaat kepada lebih 20,000 rakyat Malaysia untuk memiliki rumah pertama mereka,” katanya.

Amir berkata, akses pembiayaan yang saksama adalah pemangkin utama ke arah matlamat kerangka Ekonomi Madani yang bertujuan memperluas peluang ekonomi, menggalakkan keterangkuman kewangan, serta memastikan pengagihan kekayaan yang lebih adil.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.