PMO adakan siaran langsung taklimat harian perjelas isu semasa

PMO adakan siaran langsung taklimat harian perjelas isu semasa

Taklimat harian PMO akan disiarkan di Facebook Anwar Ibrahim dan PMO Malaysia pada 11 pagi dan 5 petang.

anwar ibrahim
Perdana Menteri Anwar Ibrahim bersetuju untuk memperkenalkan taklimat harian Pejabat Perdana Menteri yang akan disiarkan secara langsung. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Pejabat Perdana Menteri (PMO) akan mengadakan program siaran langsung taklimat harian bermula Isnin ini bagi memastikan rakyat menerima maklumat tepat dan sahih secara terus daripada sumber rasmi.

Taklimat harian PMO akan disiarkan di Facebook Anwar Ibrahim dan Facebook PMO Malaysia pada 11 pagi dan 5 petang mengikut keperluan, yang disampaikan Setiausaha Akhbar Kanan Perdana Menteri Tunku Nashrul Abaidah.

Dalam siaran langsung pertama taklimat itu disampaikan Tunku Nashrul hari ini, beliau berkata PMO akan menjelaskan isu semasa, dasar penting, serta perkembangan terkini yang perlu diketahui rakyat.

Beliau berkata, taklimat itu juga merupakan langkah penting untuk menangkis penyebaran fitnah serta maklumat palsu yang mengelirukan masyarakat.

“Dalam era pasca normal yang menyaksikan maklumat tersebar luas dengan pantas, keperluan untuk mendapatkan fakta yang tepat dan sahih adalah amat penting. Menyedari hakikat ini, Perdana Menteri Anwar Ibrahim telah bersetuju untuk memperkenalkan taklimat harian Pejabat Perdana Menteri, yang akan disiarkan secara langsung.

“Inisiatif ini juga selaras dengan gagasan Madani yang menjunjung tinggi ketelusan antara pentadbiran dan rakyat, di samping membudayakan amalan menyemak kebenaran sesuatu maklumat melalui sumber yang sahih dan tepat,” katanya dalam siaran langsung di Facebook rasmi Anwar.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.