
Setiausaha publisiti Pemuda SUPP Kuching Hilary Lim berkata, Chong patut memfailkan saman dan membiarkan mahkamah menentukan keperlembagaan Akta Kemajuan Petroleum (PDA) 1974.
“Jika Chong dan pemimpin DAP hanya keluar kenyataan bantah akta itu, tanpa ambil tindakan undang-undang, ia hanya menunjukkan mereka (mahu) kelirukan pengundi,” kata Lim, lapor The Borneo Post.
Beliau memetik kes di Sabah bulan lepas, apabila Mahkamah Tinggi mengiktiraf hak kumpulan aktivis Sabar untuk mencabar Akta Laut Wilayah. Kumpulan itu juga memohon deklarasi bahawa Akta Pelantar Benua dan Akta Perlombongan Petroleum tidak berperlembagaan dan tidak terpakai di Sabah selepas 19 Jun 2012.
Lim berkata, Sarawak menghadapi isu yang sama dan parti-parti politik di negeri itu harus bersatu dan menuntut semula hak negeri daripada kerajaan persekutuan menerusi proses mahkamah.
“Jika DAP percaya bahawa mencabar PDA di mahkamah ialah langkah yang berhemat, mereka harus ambil tindakan, bukan hanya keluarkan kenyataan,” kata Lim.
Bulan lepas, Chong menuduh kerajaan negeri sekali lagi menyerahkan semula hak petroleumnya kepada kerajaan persekutuan, selepas Dewan Rakyat diberitahu bahawa Sarawak telah mengiktiraf PDA sebagai undang-undang yang mentadbir industri petroleum Malaysia.
Chong berhujah, penggubalan undang-undang itu pada 1974 ialah kekalahan pertama Sarawak berkait hak minyak dan gasnya.
Seorang lagi pemimpin DAP, Adun Pending Violet Yong juga menuduh kerajaan negeri diterajui Gabungan Parti Sarawak (GPS) membuat ‘pengkhianatan terang-terangan terhadap hak minyak dan gas negeri’.
Menurut Sarawak, ia mengekalkan haknya untuk mengeksploitasi rizab petroleumnya bawah Ordinan Perlombongan Minyak (OMO) 1958 yang mengatasi PDA. Negeri itu juga mengenakan cukai jualan negeri terhadap Petronas.
Bagaimanapun, Perdana Menteri Anwar Ibrahim memberitahu Dewan Rakyat bulan lepas, kerajaan persekutuan dan negeri telah mengiktiraf PDA sebagai undang-undang persekutuan, dan bersetuju bahawa Petronas dan anak syarikatnya mengekalkan semua kewajipan kontrak sedia ada.
Pada hari berikutnya, Premier Sarawak Abang Johari Openg berkata, negeri itu juga berhasrat menuntut haknya untuk meneroka gas di kawasan luar pesisir dan di pelantar benua.