KWSP umum dividen lebih tinggi 6.3% akaun konvensional, syariah

KWSP umum dividen lebih tinggi 6.3% akaun konvensional, syariah

Kadar itu adalah peningkatan masing-masing daripada 5.5% dan 5.4% bagi tahun 2023.

kwsp
Jumlah keseluruhan agihan bayaran bagi kedua-dua akaun KWSP adalah RM73.24 bilion.
SHAH ALAM:
Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengumumkan dividen lebih tinggi sebanyak 6.3% untuk simpanan konvensional dan akaun syariah bagi tahun 2024.

Jumlah keseluruhan agihan bayaran bagi kedua-dua akaun adalah RM73.24 bilion.

Kadar terbabit menunjukkan trend dividen menaik melibatkan dua akaun tersebut sejak tiga tahun lalu.

Pada 2023, KWSP mengisytiharkan kadar 5.5% bagi simpanan konvensional dan 5.4% bagi simpanan syariah. Pada 2022, simpanan konvensional adalah 5.35%, manakala simpanan syariah, 4.7%.

“KWSP berbesar hati mengumumkan dividen lebih tinggi pada 2024, didorong pemulihan pasaran global dan domestik, pertumbuhan ekonomi berdaya tahan, dan pengurusan portfolio kukuh,” kata Pengerusi Zuki Ali dalam kenyataan.

“Strategi pelaburan kami yang pelbagai membolehkan kami memanfaatkan peluang pertumbuhan, mengoptimumkan pulangan, dan mengukuhkan keselamatan kewangan jangka panjang ahli kami.

“Di peringkat domestik, pelaburan kukuh, pasaran buruh yang sihat, dan inflasi stabil telah merangsang permintaan, sementara eksport mendapat manfaat daripada kestabilan global dan kitaran pertumbuhan teknologi.”

KWSP berkata, pemegang akaun konvensional akan menyaksikan pembayaran keseluruhan RM63.05 bilion, manakala bagi simpanan syariah, RM10.19 bilion, sekali gus menjadikan jumlah pembayaran bagi 2024 adalah RM73.24 bilion.

Katanya, setakat 31 Dis 2024, aset pelaburan berada pada RM1,249.71 billion, meningkat 10% berbanding RM1,135.82 bilion pada 2023.

Peningkatan berkenaan didorong pendapatan portfolio dan caruman bersih RM108.22 bilion, meningkat 11% berbanding RM97.50 bilion pada 2023.

KWSP juga merekodkan pendapatan keseluruhan pelaburan RM74.46 bilion tahun lalu, 11% lebih tinggi berbanding RM68.99 bilion direkodkan pada 2023.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.