
Jumlah pembayaran dividen bagi kedua-dua jenis simpanan itu mencatat jumlah tertinggi, berjumlah RM73.24 bilion, atau RM63.05 bilion bagi simpanan konvensional dan RM10.19 bilion bagi simpanan syariah.
“Sangat mudah untuk terbawa-bawa dengan pertumbuhan pasaran yang kukuh.
“Kita mesti faham, pasaran turun naik, dan kita mesti menjangkakannya,” kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) KWSP Ahmad Zulqarnain Onn kepada pemberita selepas taklimat dividen tahunan di ibu pejabatnya hari ini.
Pada 2023, KWSP mengumumkan kadar dividen 5.5% bagi simpanan konvensional dan 5.4% untuk simpanan syariah. Pada tahun sebelumnya, dividen KWSP berkadar 5.35% dan 4.7% masing-masing bagi simpanan konvensional dan syariah.
Zulqarnain berkata, KWSP memberi tumpuan pada strategi pelaburan jangka panjang seperti mempelbagaikan portfolio untuk menangani turun naik pasaran.
Katanya, dana itu menyaksikan lonjakan dalam kalangan pencarum sukarela, daripada sekitar 902,000 pada 2023 kepada 1.2 juta tahun lepas, meningkat 33% .
Seramai 795,000 pencarum tahun lepas bekerja dalam sektor tidak formal manakala selebihnya daripada sektor formal.
Ahli KWSP boleh menambah sehingga RM100,000 secara sukarela ke dalam akaun mereka setiap tahun.
Zulqarnain juga meluahkan rasa gembira 70% pencarum KWSP tidak membuat sebarang pengeluaran daripada Akaun 3, juga dikenali sebagai Akaun Fleksibel.
KWSP memperkenalkan Akaun 3 tahun lepas, menyimpan 10% daripada jumlah caruman ahli dan boleh dikeluarkan pada bila-bila masa untuk memenuhi keperluan jangka pendek pencarum.
“Ini menunjukkan majoriti rakyat Malaysia berhasrat mengumpul simpanan KWSP mereka untuk persaraan,” katanya.
Selain itu, data KWSP menunjukkan pencarum berbangsa Cina mencatatkan purata simpanan tertinggi sebanyak RM151,988, diikuti India (RM72,582), Melayu (RM43,843), kaum lain (RM31,038) dan Bumiputera lain (RM25,828).
KWSP antara dana persaraan terbesar dunia
Zulqarnain berkata, KWSP ialah dana persaraan ke-13 terbesar di dunia dan kelima terbesar di Asia setakat September 2024, dengan jumlah saiz dana sebanyak USD247 bilion.
“Kami akan terus meningkatkan dan menjangkakan pertumbuhan dalam tempoh dua dekad akan datang kira-kira pada kadar yang sama – kadar pertumbuhan tahunan terkumpul (CAGR) antara 8 hingga 9%,” katanya.
Beliau berkata, aset pelaburan KWSP berjumlah RM1.25 trilion setakat 31 Dis 2024, dengan 63% daripadanya dilaburkan dalam negara.