
KWSP hari ini mengumumkan kadar dividen sebanyak 6.30% bagi simpanan konvensional dengan jumlah agihan RM63.05 bilion, dan 6.30% bagi simpanan syariah dengan jumlah agihan RM10.19 bilion.
Jumlah keseluruhan agihan bagi 2024 adalah sebanyak RM73.24 bilion. Kadar dividen tersebut adalah yang tertinggi sejak 2017.
“Alhamdulillah, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengumumkan kadar dividen yang gemilang, dengan jumlah agihan tertinggi dalam sejarah, yakni RM73.24 bilion.
“Malah, simpanan syariah juga melakar sejarah, dengan julung kalinya mencapai kadar yang setara dengan simpanan konvensional,” katanya menerusi hantaran di platform media sosial X.
Anwar yang juga menteri kewangan berkata, prestasi memberangsangkan KWSP itu dipacu kepesatan pasaran modal Malaysia yang mekar di tengah tantangan ekonomi global yang penuh dengan pelbagai cabaran.
“Dengan keyakinan yang semakin meningkat dalam ekonomi negara, InsyaAllah kita akan mara dengan penuh iltizam, memastikan manfaat pertumbuhan ekonomi dapat dirasai oleh seluruh rakyat,” katanya.