
“Turut membanggakan adalah simpanan syariah berjaya mencatat prestasi setanding simpanan konvensional berikutan pelaksanaan pemisahan kedua-dua dana pada Januari 2024,” katanya dalam hantaran Instagram.
KWSP menjelaskan langkah pemisahan membolehkan setiap portfolio mengoptimumkan pulangannya dalam jangka panjang melalui alokasi aset strategik tersendiri.
Pemisahan itu juga meningkatkan kepelbagaian, memastikan aset di bawah simpanan syariah dan simpanan konvensional diagihkan dengan baik merentasi kelas aset, geografi, pasaran, dan industri bagi menjamin pulangan yang mampan.
Hari ini, KWSP mengumumkan kadar dividen sebanyak 6.3% bagi simpanan konvensional dengan jumlah agihan RM63.05 bilion dan 6.3% bagi simpanan syariah dengan jumlah agihan RM10.19 bilion.
Amir Hamzah berkata, peningkatan caruman sukarela juga jelas menunjukkan semakin ramai rakyat Malaysia memilih mempunyai jumlah simpanan mencukupi apabila mereka bersara kelak.
“Ketiga-tiga pencapaian ini, iaitu prestasi dividen, lonjakan prestasi simpanan syariah dan peningkatan ketara caruman sukarela, adalah petanda penting bahawa ekonomi negara semakin kukuh,” katanya dalam hantaran itu.
Jumlah keseluruhan agihan bagi 2024 adalah sebanyak RM73.24 bilion.
Beliau berkata, prestasi dividen KWSP yang cemerlang bukan sahaja memberi manfaat kepada simpanan persaraan ahli, tetapi juga kepada ekonomi negara secara keseluruhan.
Katanya, di bawah pentadbiran Perdana Menteri Anwar Ibrahim, dasar propertumbuhan kerajaan, pelaburan dalam infrastruktur, dan langkah fiskal di bawah kerangka Ekonomi Madani memainkan peranan kritikal meningkatkan keyakinan perniagaan serta menyokong sektor utama seperti pembuatan, perkhidmatan, dan teknologi.
Menurutnya, KWSP antara enam syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) yang mengambil bahagian dalam program GEAR-uP diterajui Kementerian Kewangan bagi mempercepatkan penstrukturan ekonomi negara.
“Di bawah program ini GLIC terbabit komited untuk melabur sebanyak RM120 bilion dalam pelaburan langsung domestik (DDI) dalam tempoh lima tahun serta RM440 bilion dalam pelaburan pasaran awam.”
Program GEAR-Up turut disertai oleh Khazanah Nasional Bhd, Kumpulan Wang Simpanan Persaraan (Diperbadankan) atau KWAP, Permodalan Nasional Bhd, Lembaga Tabung Haji, dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).