60% keuntungan TNB disalur semula kepada rakyat

60% keuntungan TNB disalur semula kepada rakyat

Prestasi kewangan TNB yang kukuh bolehkan ia labur semula keuntungan ke prasarana negara, tingkat kecekapan tenaga dan luaskan akses kepada tenaga pada harga berpatutan.

TNB solar
Prestasi kewangan TNB yang kukuh membolehkan pendapatan syarikat dilaburkan semula ke dalam inisiatif yang memberi manfaat langsung kepada rakyat Malaysia.
PETALING JAYA:
Kira-kira 60% daripada keuntungan Tenaga Nasional Bhd (TNB) disalurkan semula kepada rakyat menerusi dividen kepada syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC).

Setelah mencatatkan prestasi kewangan yang kukuh dan mampan pada 2024, keuntungan TNB memberi manfaat kepada GLIC seperti Permodalan Nasional Bhd (PNB), Khazanah Nasional Bhd, KWSP, Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) atau KWAP, dan Tabung Haji.

Ini bermakna keuntungan TNB akan meningkatkan keselamatan kewangan golongan pesara dan rakyat yang bekerja di sektor awam dan swasta, sekali gus menyumbang kepada kestabilan ekonomi jangka panjang.

“Komitmen kami melangkaui penyediaan tenaga elektrik — kami menerangi masa depan Malaysia,” kata Pengerusi TNB Abdul Razak Abdul Majid.

“Sebagai GLC yang bertanggungjawab, kami tidak hanya tertumpu pada kemampanan kewangan tetapi melabur semula kejayaan kami kepada negara — menyokong rakyat menerusi dana pencen, pembangunan ekonomi dan penyelesaian tenaga mampu milik,” menurut kenyataan.

Dasar keuntungan berstruktur di firma utiliti ini memastikan keuntungan syarikat disalurkan kembali ke dalam inisiatif yang secara langsung akan meningkatkan kehidupan rakyat.

Ini termasuk program lampu jalan kampung yang dilancarkan pada tahun 2000, yang menyaksikan TNB memasang lebih 525,000 lampu jalan, sekali gus meningkatkan keselamatan dan kesalinghubungan di kawasan luar bandar.

Tahun lepas, syarikat itu memasang 14,210 lampu jalan LED cekap tenaga, yang dibiayai di bawah Rancangan Malaysia ke-12.

Prestasi kewangan TNB yang kukuh juga membolehkannya melabur semula keuntungan ke dalam prasarana negara, meningkatkan kecekapan tenaga dan meluaskan akses kepada tenaga yang bersih pada harga berpatutan.

Mengenai sama ada keuntungannya memberi kesan pada tarif elektrik, TNB menidakkan perkara itu, dan menambah sebarang kenaikan tarif dikawal oleh kerajaan.

CEO TNB, Megat Jalaluddin Megat Hassan, berkata pelaburan semula keuntungan TNB bagi menambah baik kecekapan grid akan mengekalkan kemampuan pengguna di samping mengekang sebarang peningkatan kos yang tidak perlu.

Pada masa sama, inisiatif berpaksikan rakyat seperti insentif tenaga solar dan tarif masa penggunaan membantu mengurangkan bil tenaga.

“Kami faham rakyat mahukan keadilan dan ketelusan. Komitmen kami jelas — keuntungan tidak diambil begitu sahaja tetapi dikembalikan kepada rakyat melalui perkhidmatan yang lebih baik, tarif yang stabil dan keselamatan tenaga jangka panjang.

“Apabila TNB maju, Malaysia juga makmur. Ini bukan semata-mata mengenai keuntungan – tetapi memastikan masa depan di mana setiap rakyat Malaysia mendapat manfaat daripada bekalan tenaga yang mampan, berpatutan dan berdaya harap,” kata Megat.

TNB turut memperluaskan inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR), dengan matlamat untuk membuat penambahbaikan ketara dalam empat perkara utama: pendidikan, sukan, kesejahteraan masyarakat dan alam sekitar.

“Inisiatif ini termasuk memperluaskan projek pengelektrikan di kawasan luar bandar, menyediakan program pendidikan dan latihan kemahiran serta membiayai projek kemampanan yang dipacu komuniti,” katanya.

Megat berkata, TNB komited untuk memacu kemajuan negara dan memastikan setiap rakyat mendapat manfaat daripada kejayaan firma utiliti itu, sambil menerajui kemampanan demi generasi akan datang.

Firma utiliti itu menerajui peralihan Malaysia ke tenaga lebih bersih dengan mengembangkan pelaburan ke dalam projek tenaga solar, hidro dan tenaga hijau, sambil melabur dalam penyelesaian tenaga yang pintar untuk memperkasa pengguna tentang mengurus penggunaan secara berkesan.

Ia juga mempertingkatkan grid kuasa negara untuk memastikan kecekapan dan kebolehpercayaan bekalan tenaga yang lebih tinggi sambil membenarkan penyepaduan tenaga hijau dalam campuran kuasa negara.

“Kemampanan bukan sekadar matlamat — ia tanggungjawab kita kepada generasi akan datang. TNB tumpu pada menjadikan tenaga bersih boleh diakses, pada berpatutan dan bermanfaat kepada semua rakyat,” kata Razak.

Untuk menyerlahkan inisiatif ini, bil elektrik bagi 85% pengguna yang menerima subsidi akan dilabelkan hijau, melambangkan visi kerajaan untuk menjaga kesejahteraan rakyat dan pada masa yang sama beri tumpuan pada kemampanan tenaga.

Kaedah ini bertujuan meningkatkan kesedaran orang ramai tentang faedah yang diberikan kerajaan, katanya.

Langkah ini bererti TNB berusaha memacu pembangunan Malaysia sambil memastikan semua orang mendapat manfaat, menurut Megat.

“Setiap lampu yang kami hidupkan, setiap perniagaan yang kami perkasakan, setiap rumah kami tenagakan — inilah rupa pembinaan negara. Kami sedia berkhidmat dan mencerahkan masa depan Malaysia bersama-sama,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.