
Nabiela Ismail, dari badan pemikir Bait al-Amanah, berkata sokongan Malaysia kepada penyelesaian dua negara itu sejajar dengan dasar luar yang mengambil bahagian secara aktif dalam usaha mencari penyelesaian kepada pelbagai isu global.
Ini termasuk penyelarasan dengan kesepakatan masyarakat antarabangsa bagi menamatkan pendudukan Palestin dan penindasan rakyatnya.
“Penyelesaian dua negara adalah konsensus antarabangsa yang dipersetujui bukan sahaja oleh banyak negara tetapi juga oleh Palestin dan Israel bagi memajukan keamanan, keselamatan dan kemakmuran di Timur Tengah.

“Menarik balik sokongan kepada penyelesaian dua negara mungkin bukan pendekatan yang strategik dan pragmatik untuk Malaysia,” katanya kepada FMT.
Beliau menambah penyelesaian dua negara bukan cadangan Israel tetapi kesepakatan yang dipersetujui di peringkat antarabangsa.
Azmi Hassan, ahli geostrategi di Akademi Nusantara, berkata gesaan menarik balik sokongan kepada penyelesaian dua negara itu tidak realistik berdasarkan keadaan semasa, mengambil contoh cadangan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, untuk mengambil alih Semenanjung Gaza dan rancangan Israel untuk mengilhak Tebing Barat.

“Kita akan kelihatan tidak realistik sekiranya kita kata kita tidak mahu penyelesaian dua negara dan mengusahakan penyelesaian satu negara,” katanya.
Ahli Parlimen Afnan Hamimi dari PAS pada awal bulan ini mendesak kerajaan menarik kenyataan menyokong penyelesaian dua negara, mendakwa ia muslihat politik Israel untuk memaksa dunia menerima kewujudannya.
Bekas menteri luar Saifuddin Abdullah dari Bersatu sebelum ini berkata pentadbiran lepas ada mengkaji tentang penyelesaian dua negara kerana Israel tidak menghormati penyelesaian tersebut.
Azmi kata jika penyelesaian dua negara menjadi kenyataan, ia akan membawa kepada kewujudan Palestin dan Israel sebagai negara berdaulat.
Bagaimanapun, Malaysia tidak perlu memberikan pengiktirafan diplomatik kepada Israel, katanya.
“Pemikiran Ahli Parlimen berkenaan, yang mengatakan beliau menentang penyelesaian dua negara kerana kita pada dasarnya akan mengiktiraf Israel sebagai negara berdaulat, sangat salah,” katanya.