Kes Zulfarhan: 6 bekas pelajar UPNM terlepas hukuman gantung

Kes Zulfarhan: 6 bekas pelajar UPNM terlepas hukuman gantung

Panel tiga hakim berkata pihak pendakwaan gagal membuktikan elemen pembunuhan melampaui keraguan munasabah.

Zulfarhan Osman Zulkarnain
Pegawai Kadet Laut Zulfarhan Osman Zulkarnain dipukul rakan sebayanya tanpa henti selama dua hari dari 21 hingga 22 Mei 2017 kerana didakwa mencuri komputer riba. (Gambar Wikipedia)
PUTRAJAYA:
Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman penjara 18 tahun dijatuhkan ke atas enam bekas pelajar Universiti Pertahanan Nasional (UPNM) kerana membunuh Pegawai Kadet Laut Zulfarhan Osman Zulkarnain tanpa niat, lapan tahun lalu.

Panel tiga hakim dipengerusikan Hakim Besar Malaya, Hasnah Hashim, berkata pihak pendakwaan gagal membuktikan elemen pembunuhan melampaui keraguan munasabah terhadap perayu.

“Kami mengetepikan sabitan membunuh. Bagaimanapun, terdapat bukti yang mencukupi untuk mendapati mereka bersalah menyebabkan kematian tanpa niat membunuh,” kata Hasnah.

Turut bersidang mendengar rayuan itu ialah Hakim Nordin Hassan dan Abdul Karim Abdul Jalil.

Akmal Zuhairi Azmal, Azamuddin Sofi, Najib Razi, Afif Najmudin Azahat, Shobirin Sabri dan Hakeem Ali merayu untuk mengetepikan sabitan Mahkamah Rayuan kerana membunuh Zulfarhan.

Mereka didakwa membunuh Zulfarhan di Asrama Jebat UPNM pada 22 Mei 2017.

Pada 2021, Mahkamah Tinggi mengurangkan pertuduhan membunuh kepada bunuh tanpa niat dan menjatuhkan hukuman penjara 18 tahun terhadap mereka.

Bagaimanapun, tahun lalu Mahkamah Rayuan berkata pihak pendakwaan membuktikan bahawa enam perayu melakukan pembunuhan melampaui keraguan munasabah.

Zulfarhan dipukul oleh rakan sebayanya tanpa henti selama dua hari, dari 21 hingga 22 Mei 2017 kerana didakwa mencuri komputer riba Akmal.

Mangsa mengalami 90 kecederaan di seluruh badan dan melecur 30% hingga 50%. Dia meninggal dunia di Hospital Serdang pada 1 Jun 2017.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.