
Perdana menteri berkata, rakyat boleh berjimat dan mengamalkan gaya pemakanan lebih sihat melalui tawaran itu.
“Kurang gula harga turun 30 sen. Sekarang ini ada gula, tiada gula, kadang-kadang harga sama, jadi dia bezakan.
“Jadi, kita kempen (untuk ambil minuman) kurang gula,” katanya menurut Harian Metro pada Majlis Peletakan Logo Malaysia Madani di rangkaian Restoran Nasi Kandar Putrajaya (Singgah Madani).
Presiden Presma, Jawahir Ali Taib Khan, berkata pendekatan yang sudah dilaksanakan di semua rangkaian restorannya mendapat sambutan baik pengguna.
Beliau mengajak rakyat mengunjungi semua rangkaian restoran nasi kandar yang memaparkan logo Singgah Madani untuk menikmati diskaun itu.
“Kita sahut seruan kerajaan dan kami seboleh mungkin menyediakan makanan enak dengan harga berpatutan.
“Kalau ikut kenaikan harga, memang berlaku, tetapi itu tak boleh jadi alasan naikkan harga sewenang-wenangnya. Saya ada 12,500 ahli di seluruh negara dan Alhamdulillah semua menyahut seruan ini.”
Dalam perkembangan lain, Jawahir berkata, Anwar bersetuju dengan permohonan Presma untuk meneruskan pelaksanaan skim penggantian pekerja asing di sektor restoran.
“Skim ini membolehkan majikan mendapat pekerja gantian jika mana-mana pekerja asing dihantar pulang.
“Umpamanya saya ada kuota 20 pekerja asing, kuota itu akan kekal setiap kali ada penghantaran pulang, mungkin disebabkan (pekerja itu) kurang sihat atau mahu berhenti kerja dan balik.
“Ini diterima baik perdana menteri dan sama sekali tidak akan menambahkan nisbah pekerja asing di sektor restoran.”