Bunuh pelajar vokasional: 13 remaja diperintah bela diri

Bunuh pelajar vokasional: 13 remaja diperintah bela diri

Hakim Duncan Sikodol menetapkan tarikh prosiding pada 10 hingga 14 Mac ini.

pelajar kolej vokasional
Semua 13 pelajar berusia 16 hingga 19 tahun itu didakwa atas pertuduhan membunuh Mohamad Nazmie Aizzat Mohd Narul Azwan di Kolej Vokasional Lahad Datu, Mac tahun lepas. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Mahkamah Tinggi Tawau hari ini memerintahkan 13 remaja membela diri atas pertuduhan membunuh Mohamad Nazmie Aizzat Mohd Narul Azwan di Kolej Vokasional Lahad Datu, Mac tahun lepas.

Hakim Duncan Sikodol membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya menimbulkan kes prima facie di akhir kes mereka.

“Mahkamah berpuas hati bahawa pihak pendakwaan telah membuktikan kes prima facie terhadap semua tertuduh di bawah Seksyen 302 dan memanggil semua tertuduh untuk membela diri,” katanya, menurut Berita Harian.

Peguam Mohamed Zairi Zainal Abidin memohon kepada mahkamah supaya penangguhan diberikan kepada pihak pembelaan untuk melakukan persediaan.

Duncan membenarkan permohonan itu dan menetapkan tarikh prosiding pada 10 hingga 14 Mac ini.

Pada 13 Ogos lalu, semua 13 pelajar berusia 16 hingga 19 tahun itu didakwa atas pertuduhan membunuh Nazmie di kolej terbabit pada 9 malam, 21 Mac hingga 7.38 pagi, 22 Mac lalu.

Dakwaan terhadap mereka dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara 30 hingga 40 tahun serta tidak lebih 12 sebatan, jika sabit kesalahan.

Pasukan pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya Nur Nisla Abd Latif bersama Ng Juhn Tao dan Batrisyia Mohd Khusri.

Lapan daripada 13 remaja itu diwakili peguam Kamarudin Mohmad Chinki, Ram Singh dan Chen Wen Jye, sementara lima lagi masing-masing diwakili Abdul Ghani Zelika termasuk peguam lantikan, Vivien Thien, Jhasseny P Kang, Kusni Ambotuwo dan Mohamed Zairi Zainal Abidin.

Perbicaraan penuh kes itu bermula 19 November lalu dan antara saksi pendakwaan yang dipanggil memberi keterangan ialah pengarah dan warden kolej selain sepuluh pelajar yang juga rakan sebilik mangsa serta penghuni asrama kolej terbabit.

Turut dipanggil pada prosiding selama 12 hari itu ialah pakar patologi, pakar kimia, pakar forensik dan pegawai polis.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.