Amirudin pertahan jawatan naib presiden PKR

Amirudin pertahan jawatan naib presiden PKR

Amirudin Shari kata beliau yakin Anwar Ibrahim harus dapat sokongan terus daripada Rafizi Ramli selaku timbalan presiden.

amir
Amirudin Shari umum beliau akan pertahan jawatan naib presiden pada pemilihan PKR akan datang.
SHAH ALAM:
Amirudin Shari membuat keputusan untuk mempertahankan jawatan naib presiden PKR pada pemilihan parti kali ini.

Beliau yang juga menteri besar Selangor berkata beliau yakin Presiden PKR Anwar Ibrahim harus dapat sokongan terus daripada Rafizi Ramli selaku timbalan.

“Saya akan terus berdiri selaku naib presiden kerana kita kena jadi satu suara yang kuat dan padu untuk maju ke depan,” katanya dalam ucapan merasmikan mesyuarat mesyuarat agung PKR Selangor peringkat bahagian dan sayap.

Semalam, Amirudin dilapor memberitahu pemberita di satu majlis di Melaka bahawa ada permintaan daripada ‘banyak pihak’ supaya bertanding timbalan presiden, yang digalas Rafizi sejak 2022.

Sementara itu, Amirudin dalam ucapannya menyeru semua yang ingin bertanding supaya menjaga sikap dan bahasa masing-masing.

“Siapa nak bertanding, bertandinglah. siapa nak tawar diri, tawarlah. Tapi jaga batas, jaga sikap dan jaga bahasa,” katanya.

Amirudin menggalas jawatan naib presiden sejak 2022. Beliau juga pengerusi PKR Selangor.

PKR dijadualkan mengadakan pemilihan peringkat bahagian dari 11 hingga 20 April. Pemilihan bagi kepimpinan pusat akan berlangsung pada 24 Mei.

Semua jawatan dalam majlis tertinggi, sayap Wanita dan Pemuda akan dipertandingkan untuk penggal 2025-2028.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.