RUU PSB: Kemuka idea lebih baik, bukan demo, pemimpin PKR beritahu Pemuda PAS

RUU PSB: Kemuka idea lebih baik, bukan demo, pemimpin PKR beritahu Pemuda PAS

Timbalan Ketua Penerangan PKR Chua Wei Kiat berkata, langkah mengadakan demonstrasi hanya akan menimbulkan ketegangan.

Chua Wei Kiat
Timbalan Ketua Penerangan PKR Chua Wei Kiat menuduh PAS sentiasa putar belit apa sahaja dasar atau cadangan yang membawa manfaat kepada rakyat ‘demi kepentingan politik sempit’. (Gambar PKR)
PETALING JAYA:
Seorang pemimpin PKR membidas Pemuda PAS berhubung rancangannya mengadakan demonstrasi membantah cadangan Akta Pembaharuan Semula Bandar (PSB) dengan berkata, sayap itu sebaliknya perlu mengemukakan penyelesaian yang lebih baik untuk membantu golongan miskin bandar.

Timbalan Ketua Penerangan PKR Chua Wei Kiat berkata, langkah mengadakan demonstrasi hanya akan menimbulkan ketegangan.

Demonstrasi yang dicadangkan itu tiada kaitan dengan rakyat, sebaliknya hanya ‘modal politik’ PAS, yang menurutnya bergantung pada ‘hasutan dan fitnah’.

“Jika PAS benar-benar mahu membela rakyat, mereka sepatutnya mengemukakan cadangan penyelesaian yang lebih baik,” kata Chua dalam kenyataan.

Semalam, Timbalan Ketua Pemuda PAS Hafez Sabri berkata, sayap itu bercadang mengadakan bantahan terhadap Rang Undang-undang (RUU) PSB yang didakwa akan menafikan ‘suara minoriti’ dan dijadikan strategi pengusiran seperti di Palestin.

Beliau berkata, RUU itu juga akan menekan penduduk bandar, terutamanya masyarakat Melayu yang kurang berkemampuan, untuk ‘berpindah dan menyerahkan tanah mereka tanpa kerelaan’.

Chua bagaimanapun berkata, PAS sentiasa memutarbelitkan apa sahaja dasar atau cadangan yang membawa manfaat kepada rakyat ‘demi kepentingan politik sempit’.

Menurutnya, proses penggubalan undang-undang ini telah bermula sejak 2012 lagi, merentasi beberapa pentadbiran kerajaan.

Beliau berkata, RUU PSB bukanlah sesuatu yang diputuskan secara tergesa-gesa, sebaliknya melalui proses kajian, perbincangan dan rundingan yang panjang bagi memastikan ia benar-benar membawa manfaat kepada rakyat.

Chua berkata, kerajaan telah bertahun-tahun mengkaji model serupa di negara-negara maju seperti Singapura, Hong Kong, Korea Selatan dan Jepun.

“(Akta) ini adalah penyelesaian sebenar kepada masalah perumahan bandar yang selama ini menghimpit golongan miskin bandar,” katanya.

Ahli Parlimen DAP Syerleena Abdul Rashid sebelum ini turut mengecam Pemuda PAS yang menurutnya bermain sentimen sensasi berhubung isu itu, dengan membuat perbandingan tidak masuk akal antara akta itu dan penderitaan rakyat Palestin.

Katanya, langkah membandingkan dasar perancangan bandar yang sah dengan kekejaman Zionis ‘bukan sahaja tidak jujur dari segi intelektual, tetapi juga sangat tidak bertanggungjawab’.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.