
Anwar menyifatkan dakwaan mengatakan RUU itu bakal menyebabkan tanah rizab Melayu dirampas sebagai penipuan.
“Kalau tanah itu tanah rizab Melayu, maka ia kekal rizab Melayu, kalau tanah itu kerajaan negeri kekal kerajaan negeri, kalau tanah itu milik strata perseorangan maka kekal,” katanya lapor Bernama, dalam ucapan menutup suatu konvensyen di Alor Setar, Kedah.
Anwar meminta rakyat agar tidak terpengaruh dengan dakwaan tidak benar tentang RUU PSB, serta menegaskan beliau tidak mahu biar rakyat hidup dalam kediaman yang sempit dan usang.
Perdana menteri menceritakan kepada hadirin keadaan Flat Seri Perlis di ibu negara yang dibina pada tahun 60-an, dan menambah beliau mahu gunakan kuasa yang ada untuk sediakan rumah lebih selesa dengan kemudahan lebih baik untuk rakyat.
“Dah hampir 50 tahun dan usang… satu bilik dan yang duduk di situ yang paling miskin,” katanya.
“Saya perdana menteri, menteri kewangan, takkan nak biar macam tu? Nak bangunkan macam mana? Kenalah pinda undang-undang.”
RUU itu digembar-gemburkan sebagai perlu untuk menggantikan undang-undang dan peraturan lapuk berkenaan pembangunan semula kawasan bandar yang usang.
Akta Hakmilik Strata sekarang memerlukan resolusi sebulat suara pemilik sebelum hakmilik strata yang dikeluarkan berkenaan sesebuah bangunan yang dipecah bahagi boleh ditamatkan.
PSB mahu menurunkan ambang persetujuan pemilik strata daripada sebulat kepada 80% bagi hartanah yang berusia bawah 30 tahun, 75% bagi hartanah berusia lebih 30 tahun, dan 51% bagi bangunan tidak berpenghuni.
Pengkritik berpendapat undang-undang itu akan mengusir warga miskin yang tidak dapat terus menetap di kawasan yang dibangunkan semula.
Timbalan Ketua Pemuda PAS Mohd Hafez Sabri dilapor berkata pihaknya merancang mengadakan himpunan bagi membantah RUU ini.