
Beliau berkata perbelanjaan kira-kira RM3,150 bagi tempoh 45 hari latihan itu meliputi pelbagai keperluan asas termasuk sajian, insurans, elaun perjalanan, pakaian kemeja dan sukan.
Menurut Khaled, secara keseluruhan kerajaan meluluskan bajet RM38.63 juta yang meliputi perbelanjaan seperti gaji dan elaun tenaga pengajar, jurulatih dan kakitangan sokongan serta operasi dan logistik seperti pengangkutan, pakaian, kelengkapan peserta, bahan latihan dan senggaraan kem.
Perbelanjaan turut meliputi penyelenggaraan peralatan latihan serta kemudahan di kem, makanan dan pembangunan sistem data pelatih serta modul latihan digital.
“Kos ini tidak melibatkan perbelanjaan besar kerana PLKN 3.0 menggunakan pendekatan lebih cekap.
“Seperti memanfaatkan kemudahan pusat latihan milik kerajaan terutamanya kem Askar Wataniah sedia ada,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.
Beliau menjawab soalan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muda-Muar) yang meminta perincian memulakan semula PLKN dari segi kos pelaksanaan, operasi serta anggaran perbelanjaan kerajaan bagi setiap pelatih.
PLKN 3.0 yang menerapkan 70% asas ketenteraan dan 30% kenegaraan akan membantu meningkatkan kemahiran serta kemampuan diri termasuk dari segi percakapan dan berfikir.
Pelaksanaan dimulakan dengan latihan percubaan melibatkan 200 peserta, terdiri 148 lelaki dan 52 perempuan, dari 12 Jan hingga 25 Feb lalu.