Pilihan raya PBT: ‘Mengapa tak serang MCA juga’, wakil rakyat DAP persoal PAS

Pilihan raya PBT: ‘Mengapa tak serang MCA juga’, wakil rakyat DAP persoal PAS

Lim Lip Eng bertanya sama ada PAS dan MCA telah lama bersekongkol peralat isu kaum demi kepentingan politik.

Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng kritik tindakan PAS tidak bangkang cadangan MCA kembali semula pilihan raya PBT di KL, yang sebelum ini turut diutarakan DAP. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seorang Ahli Parlimen DAP membidas PAS kerana didakwa tidak mengkritik kenyataan Presiden MCA Wee Ka Siong yang mencadangkan pengenalan semula pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) di Kuala Lumpur.

Menyifatkan PAS sebagai hipokrit, Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng berkata, hanya empat bulan lepas parti itu lantang menentang cadangan sama diutarakan oleh DAP, malah membangkitkan semula tragedi 13 Mei 1969 untuk menakut-nakutkan rakyat.

Namun, katanya, apabila MCA mengusulkan perkara serupa, PAS dilihat membisu seribu bahasa, menunjukkan kedua-duanya hanya hanya memainkan isu perkauman apabila ia menguntungkan mereka.

“Jika benar PAS berpegang teguh pada prinsip menolak pilihan raya PBT, mengapa mereka tidak menyerang MCA sebagaimana mereka menyerang DAP?

“Atau adakah ‘prinsip’ PAS ini sebenarnya tidak wujud dan mereka hanya menyalak apabila ia memberi keuntungan politik?” soalnya dalam kenyataan.

“Lebih memualkan, adakah ini bukti bahawa PAS dan MCA telah lama bersekongkol memperalatkan isu perkauman demi kepentingan politik masing-masing.”

Isnin lepas, media melaporkan Wee mencadangkan pilihan raya PBT diperkenalkan semula di Kuala Lumpur susulan perkembangan pesat bandaraya itu yang memerlukan tadbir urus baik.

Pada masa ini, katanya, tiada Adun atau ahli majlis dipilih di Kuala Lumpur yang boleh memfokuskan pada isu perbandaran.

Pada 18 Okt tahun lepas, lidah rasmi PAS Harakahdaily melaporkan kenyataan Ketua Pemuda PAS Wilayah Persekutuan Azmer Syazwan Ahmad Suparmin yang mendakwa cadangan meminda Akta Ibukota Persekutuan 1960 sebagai cubaan mewujudkan mewujudkan semula pilihan raya PBT.

Menurutnya, rakyat perlu bangkit melawan hasrat DAP yang akan menyebabkan ketidakseimbangan penguasaan kaum dalam PBT yang sebelum ini mencetuskan peristiwa 13 Mei.

Kenyataan Azmer itu menyusul keputusan DAP Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dalam konvensyennya pada bulan sama meluluskan resolusi melantik ahli majlis di Kuala Lumpur seperti PBT lain di seluruh negara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.