Remaja mengaku salah amang seksual fizikal budak di masjid

Remaja mengaku salah amang seksual fizikal budak di masjid

Adam Haiqal Abdullah membuat pengakuan itu selepas tuduhan dibaca di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Norshila Kamarudin.

Muhamad Adam Haiqal Abdullah
Adam Haiqal Abdullah didakwa di Mahkamah Sesyen Ampang atas tuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang budak perempuan 10 tahun di sebuah masjid di Batang Kali pada 21 Feb lalu. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seorang remaja tular kerana disyaki mencabul budak perempuan 10 tahun dalam masjid di Batang Kali minggu lalu, mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Ampang atas tuduhan melakukan amang seksual fizikal.

Adam Haiqal Abdullah, 19, yang juga orang kurang upaya (OKU) membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim Norshila Kamarudin, lapor Sinar Harian.

Bagaimanapun, Norshila menetapkan 27 Mac sebagai tarikh jatuh hukum sementara menunggu laporan sosial daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Mengikut pertuduhan, Adam Haiqal didakwa melakukan amang seksual fizikal ke atas seorang kanak-kanak perempuan berumur 10 tahun, bagi maksud seksual di sebuah masjid di Batang Kali pada jam 6.20 pagi, 21 Feb lalu.

Pemuda itu didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 boleh dihukum bawah Seksyen 14 akta sama, yang boleh dihukum penjara tidak lebih 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Nurfadzlin Madmad Zulhasnan mencadangkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin dan syarat melaporkan diri di balai polis serta tidak mengganggu saksi dan mangsa.

Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam tidak dibenarkan diikat jamin kerana tiada waris hadir untuk membuat jaminan.

Sebelum ini, tular di media sosial rakaman video memaparkan seorang kanak-kanak perempuan disyaki dicabul ketika menunaikan solat subuh berjemaah di masjid berkenaan.

Menerusi perkongsian, seorang lelaki dilihat menceroboh ke ruang solat wanita ketika jemaah sedang solat dan melarikan seorang kanak-kanak.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.