Pekerja kebun ugut bunuh Tiong didenda RM3,000

Pekerja kebun ugut bunuh Tiong didenda RM3,000

Lim Chai Seng, 36, mengaku salah dan kesal dengan tindakannya.

Lim Chai Seng
Tertuduh Lim Chai Seng tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini.
KUALA LUMPUR:
Mahkamah Majistret di sini mendenda seorang pekerja kebun buah RM3,000 kerana mengugut bunuh Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Tiong King Sing.

Majistret Aina Azahra Arifin menjatuhkan hukuman itu selepas Lim Chai Seng, 36, mengaku bersalah melakukan intimidasi jenayah terhadap Tiong.

Lim, yang akan dipenjara enam bulan jika gagal membayar denda itu, didakwa melakukan jenayah berkenaan melalui satu panggilan telefon pada 1.37 tengah hari 18 Feb lalu.

Seksyen 506 Kanun Keseksaan berhubung intimidasi jenayah memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun, denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Lim didakwa mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan atas kesalahan menakutkan secara jenayah dengan jalan perhubungan sembunyi nama, yang boleh dikenakan hukuman penjara tambahan sehingga dua tahun, jika sabit kesalahan.

Peguam Caren Kaur memohon hukuman ringan bagi anak guamnya yang menyesali tindakan itu dan sudah memohon maaf, selain hanya dibayar RM1,200 sebulan sebagai pekerja kebun buah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.