Jawatan kepimpinan penting sebagai KM, kata Chow usai umum tanding CEC

Jawatan kepimpinan penting sebagai KM, kata Chow usai umum tanding CEC

Chow Kon Yeow yang tidak menyertai pemilihan DAP negeri tahun lalu berkata beliau hanya ahli biasa jika tidak tanding pemilihan CEC.

chow kon yew steven sim
Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow (kiri) bersama pengganti berpotensi Steven Sim pada pemilihan parti peringkat negeri September lalu. Di sebelah kanan ialah Setiausaha DAP negeri Lim Hui Ying. (Gambar Facebook)
GEORGE TOWN:
Chow Kon Yeow yang mengubah fikiran selepas mengumumkan tidak menyertai pemilihan parti negeri tahun lalu berkata, jawatan dalam pucuk pimpinan DAP penting untuk baki penggalnya sebagai ketua menteri.

Chow yang pada Ahad mengesahkan bakal bertanding pemilihan Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) akan datang berkata, beliau hanya ahli biasa jika mengekalkan keputusannya tidak menyertai pemilihan itu.

“Sebagai ketua menteri, saya rasa mempunyai jawatan dalam parti penting kerana ia bermakna saya akan menjadi sebahagian daripada pucuk pimpinan DAP,” katanya dalam sidang media di Komtar.

Chow yang kini ahli CEC dan naib pengerusi DAP, tidak mempertahankan jawatan ketua DAP Pulau Pinang dalam pemilihan negeri September lalu.

Beliau dilaporkan berkata, ada banyak cabaran mendatang dan beliau mahu fokus tiga tahun akan datang sebelum penggalnya sebagai ketua menteri tamat pada 2028.

“Saya mahu melaksanakan atau menyelesaikan sebanyak mungkin projek utama yang boleh dalam tiga tahun ini.”

Selain Chow, Ahli Parlimen Bukit Gelugor Ramkarpal Singh dan bekas Ahli Parlimen Batu Kawan Kasthuri Patto dari Pulau Pinang turut bertanding dalam pemilihan CEC.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.