Balak jatuh hempap kenderaan, pemandu lori didenda RM15,000

Balak jatuh hempap kenderaan, pemandu lori didenda RM15,000

Tonny Chong, 37, turut dihukum penjara 30 hari selepas mengaku bersalah atas tujuh pertuduhan.

tawau
Mahkamah Majistret Tawau turut memutuskan tertuduh hilang kelayakan mendapat lesen dalam tempoh 12 bulan dari tarikh sabitan hari ini dan lesen memandu percubaan kelas D miliknya dibatalkan. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Seorang pemandu lori balak didenda RM15,000 dan dipenjara 30 hari selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Tawau atas tujuh pertuduhan, termasuk memandu tanpa cermat sehingga menyebabkan kemalangan di Jalan Merotai-Kalabakan dekat Tawau minggu lalu.

Berita Harian melaporkan Tonny Chong, 37, membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan dibacakan di depan Majistret Don Stiwin Malanjum.

Dia didakwa mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang boleh didenda tidak kurang RM5,000 dan tidak lebih RM10,000, selain boleh dipenjara sehingga 12 bulan, jika sabit kesalahan.

Tertuduh turut didakwa dengan enam pertuduhan lain, masing-masing mengikut Seksyen 26(1), 56(1), 90(1), 15(1)A dan Seksyen 66A(2) akta sama serta Peraturan 19 Kaedah-kaedah Lalu Lintas Jalan 1959.

Semua kesalahan itu didakwa dilakukan di Jalan Merotai-Kalabakan, dekat Tawau pada 19 Feb lalu.

Pegawai pendakwaan, Joan Lee memohon hukuman penjara atau denda tinggi mengambil kira faktor kepentingan awam, selain rakaman kemalangan itu tular di media sosial.

Katanya, kes itu serius kerana tertuduh memandu tanpa lesen GDL, selain lori tiada cukai jalan dan perlindungan insurans sejak tiga tahun lalu. Ia sepatutnya diharamkan di atas jalan raya kerana berpotensi membawa pelbagai risiko.

“Kemalangan ini menimbulkan implikasi kewangan tinggi kepada pemilik kenderaan rosak teruk, selain kesan trauma terhadap isteri pemandu yang mengandung 29 minggu.

“Walaupun kemalangan tidak melibatkan sebarang kecederaan, namun insiden terbabit nyaris meragut nyawa pasangan suami isteri terbabit, apabila sebatang kayu balak dari muatan lori dipandu tertuduh terjatuh dan menghempap Toyota Hilux mangsa.”

Tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon hukuman ringan atas alasan dia hanya dibayar gaji RM120 mengikut trip dalam sehari, selain mempunyai tanggungan.

Mahkamah memerintahkan tertuduh hilang kelayakan mendapatkan lesen dalam tempoh 12 bulan dari tarikh sabitan hari ini dan lesen memandu percubaan kelas D miliknya dibatalkan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.