
Antara empat agensi persekutuan dengan lebihan semasa tertinggi yang menyumbang kepada pencapaian 2023 ialah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berjumlah RM41.3 bilion, dan Kumpulan Wang Simpanan Persaraan (Diperbadankan) atau KWAP sebanyak RM9.6 bilion.
“Bank Negara (BNM) menyumbang sebanyak RM7.2 bilion manakala Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) berjumlah RM3.1 bilion,” katanya ketika menggulung usul LKAN 1/2025 Mengenai Penyata Kewangan Kerajaan Persekutuan Tahun 2023.
Laporan itu diterbitkan pada Isnin lalu.
Mengulas perbahasan Jimmy Puah Wee Tse (PH-Tebrau) yang membangkitkan kerugian pelaburan melibatkan KWAP, Amir berkata 15 daripada 17 syarikat subsidiari KWAP merupakan syarikat tujuan khas (SPV) yang ditubuhkan sebagai medium pelaburan hartanah di dalam dan luar negara.
“Tujuan penubuhan SPV ini adalah untuk memindahkan risiko-risiko berkaitan pelaburan daripada KWAP kepada SPV selain dapat mengoptimum hasil pelaburan luar negara termasuk melalui struktur modal yang berkesan daripada perspektif cukai.”
Jelasnya, jumlah kerugian yang dicatatkan oleh tujuh syarikat subsidiari pada 2023 ialah RM80 juta dan KWAP mengelaskan kerugian itu kepada tiga kategori iaitu struktur modal, kemerosotan nilai hartanah komersial 100 Cheapside di UK dan penurunan kadar penghunian di bangunan Menara Capsquare, Kuala Lumpur.
Aset-aset pelaburan hartanah lain yang dipegang KWAP merekodkan kadar penghunian yang baik dan memberi pulangan bersih yang positif. Pengurusan KWAP sentiasa memantau prestasi syarikat subsidiari terlibat, katanya.
Berhubung perbahasan Dr Abd Ghani Ahmad (PN-Jerlun) berkaitan LHDN yang mencatatkan defisit semasa sebanyak RM735 juta pada 2023, beliau berkata jumlah berkenaan bukannya sesuatu kerugian yang membimbangkan tetapi berbangkit daripada keputusan Kementerian Kewangan (MoF) mengurangkan penyaluran Fi Agensi kepada LHDN daripada RM3.2 bilion pada 2022 kepada RM2.1 bilion 2023.
“Langkah MoF dibuat setelah mengambil kira kedudukan rizab tunai LHDN yang mencukupi untuk membiayai sebahagian perbelanjaan LHDN untuk 2023. Bagi permulaan 2023, LHDN mempunyai baki awal tunai berjumlah RM1.12 bilion.
“Dengan itu, jumlah defisit 2023 dapat ditampung melalui sumber dalaman tanpa menjejaskan pengoperasian LHDN dari segi keperluan tunainya,” kata beliau.
LHDN juga masih mempunyai jumlah lebihan terkumpul yang positif sebanyak RM104.55 juta dan nilai asset bersih berjumlah RM279.66 juta pada 31 Dis 2023, katanya.
Amir berkata MoF bertanggungjawab menguruskan kedudukan aliran tunai negara dan akan memastikan keperluan tunai LHDN mencukupi bagi menjamin kelangsungan peroperasian LHDN dan mencukupi untuk memenuhi tugasannya mencapai sasaran hasil kutipan cukai negara.
Sementara itu mengulas soalan beberapa Ahli Parlimen mengenai KWSP, beliau berkata agensi itu mengkategorikan kerugian yang dialami oleh sembilan syarikat subsidiari berkenaan kepada tiga kategori yang sama seperti KWAP iaitu iaitu struktur modal, kemerosotan nilai hartanah komersial dan penurunan kadar penghunian.
Menurut Amir, seramai 18 Ahli Parlimen mengambil bahagian dalam perbahasan yang melibatkan agensi dan syarikat di bawah MoF seperti mana yang dilaporkan dalam LKAN kali ini.