
Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Karim berkata menteri Mohamad Sabu serta Armizan Mohd Ali tidak perlu menunggu Akta Kawalan Beras dan Padi 1994 dibawa ke Parlimen untuk pindaan sebelum mengambil tindakan.
Sebaliknya, veteran PKR itu meminta dua menteri terbabit mengambil tindakan mengikut Akta Perihal Dagangan 2011 (Akta 730), Akta Perlindungan Pengguna 1999 dan Akta Makanan 1983.
“Ini kerana Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian (Mardi) telah menemui analisa forensik berdasarkan DNA bahawa BPT dapat dibuktikan secara saintifik berbeza dengan BPI,” katanya dalam kenyataan.
Menurutnya, dengan adanya tiga akta itu, KPKM dan KPDN boleh menyiasat, menangkap dan mendakwa kartel yang menipu rakyat Malaysia hampir dua tahun.
Semalam, Mardi dilapor mengesahkan kira-kira 40% hingga 50% BPI daripada 5,000 sampel dianalisisnya bercampur BPT.
Pegawai Penyelidik Kanan Biologikal Sains (Genetik) Pusat Penyelidikan Bioteknologi dan Nanoteknologi Mardi Mohd Syahril Firdaus Ab Razak dilaporkan berkata campuran beras dipercayai berlaku di peringkat pengilang dengan petani menanam padi menggunakan benih tempatan.
Katanya analisis pada 2023 dan 2024 itu bagi mengenal pasti isu kehilangan BPT di pasaran seiring penubuhan Petugas Khas Operasi Bersepadu Beras Putih Tempatan dua tahun lalu.