Video promosi VM2026 dikemas kini setiap suku tahun

Video promosi VM2026 dikemas kini setiap suku tahun

Menteri pelancongan, seni dan budaya meminta Tourism Malaysia dan pihak produksi terus kerjasama dengan semua negeri tambah baik video promosi.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Tiong King Sing berharap pembikinan video promosi VM2026 tidak dipolitikkan dan beliau sedia mendengar komen positif daripada semua pihak. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Video promosi Kempen Melawat Malaysia 2026 (VM2026) dikemas kini setiap suku tahun bagi memastikan ia relevan dengan tarikan pelancongan terkini di seluruh negara, kata Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Tiong King Sing.

Menurutnya, Tourism Malaysia dan pihak produksi terlibat diminta meneruskan kerjasama dengan semua negeri untuk menambah baik video promosi dari semasa ke semasa.

“Setiap suku tahun kita akan minta naik taraf video (kerana) kemungkinan ada destinasi atau pakej baharu (ditawarkan), jadi kita akan minta naik taraf.

“(Pembikinan video) ini sudah lama sejak tahun lepas…kita mahu tonjolkan Malaysia mengalu-alukan semua dan kita mempunyai banyak destinasi serta pakej pelancongan menarik sebagai pilihan,” katanya menurut Bernama selepas pelancaran video promosi VM2026 selama 35 minit di ibu negara.

Beliau berharap pembikinan video itu tidak dipolitikkan dan sedia mendengar komen positif daripada semua pihak dalam membantu memperkasakan industri pelancongan negara.

Terdahulu, Tiong dalam ucapan pelancaran yang dibacakan Ketua Pengarah Tourism P Manoharan berkata, semua pihak perlu bekerjasama memastikan sektor pelancongan terus berkembang, menarik lebih ramai pelancong serta membawa limpahan ekonomi berterusan untuk negara.

“Kejayaan VM2026 bukan hanya bergantung kepada video promosi semata-mata. Sokongan berterusan serta penyertaan aktif semua pihak – pemain industri pelancongan, sektor swasta dan seluruh rakyat Malaysia amat diperlukan.

“Saya menyeru kita bersama menjadi duta pelancongan negara memastikan setiap pelancong datang ke Malaysia membawa pulang pengalaman indah serta berkongsi keunikan negara kita dengan dunia.”

Sebelum ini, Tiong ketika menjawab pertanyaan di Dewan Rakyat menjelaskan kos keseluruhan video promosi VM2026 sebanyak RM1.9 juta membabitkan pengumpulan 200 video pendek dan melalui tender terbuka.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.