
Beliau menyifatkan bantahan terbaharu sayap itu sebagai contoh jelas politik tidak masuk akal.
Menurutnya, rakyat Malaysia tidak berada di bawah kepungan dan kerajaan tidak merobohkan rumah di wilayah diduduki atau mengusir komuniti melalui kekerasan tentera.
“Membandingkan dasar perancangan bandar yang sah dengan kekejaman Zionis bukan sahaja tidak jujur dari segi intelektual, tetapi juga sangat tidak bertanggungjawab,” katanya dalam kenyataan.
Terdahulu, Timbalan Ketua Pemuda PAS Hafez Sabri dilaporkan berkata sayap itu bercadang mengadakan bantahan terhadap RUU itu yang didakwa akan menafikan “suara minoriti” dan dijadikan strategi pengusiran seperti di Palestin.
Beliau mendakwa RUU itu secara tersirat akan menafikan suara minoriti, menggugat kestabilan sosio ekonomi dan menindas hak golongan tertentu.
“RUU ini juga dilihat menekan penduduk bandar, khususnya masyarakat Melayu yang kurang berkemampuan. Mereka terpaksa berpindah dan menyerahkan tanah mereka tanpa kerelaan,” katanya sambil menambah RUU itu perlu dihentikan kerana ia dilihat satu bentuk penjajahan moden.
Syerleena, yang mempertahankan cadangan akta itu mempersoalkan adakah PAS sengaja menghasut dengan menyamakan kerajaan Malaysia yang dipilih secara demokratik dengan kuasa penjajah.
“Jika ya, mereka harus bersedia bertanggungjawab terhadap retorik liar ini,” kata Ahli Parlimen Bukit Bendera itu.
Beliau berkata RUU Pembaharuan Semula Bandar bertujuan memperkasa bandar, mencegah kemerosotan dan memastikan persekitaran hidup lebih selamat serta berkualiti.
“Daripada memperjuangkan kemajuan, mereka lebih gemar mencipta drama politik – menimbulkan kemarahan terhadap dasar yang mereka sendiri kurang faham.”
Pembangkang sebelum ini mendakwa RUU Itu cara halus untuk mengusir orang Melayu dan India yang miskin.
Semalam, Perdana Menteri Anwar Ibrahim bagaimanapun berkata RUU itu tidak akan memaksa pemilik tanah atau premis menyerahkan hartanah mereka atau mengubah komposisi etnik kawasan kediaman.