Sekolah bertingkat tingkat risiko keselamatan, kata kesatuan guru

Sekolah bertingkat tingkat risiko keselamatan, kata kesatuan guru

Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan berkata rekaan sekolah seperti itu meningkatkan risiko ketika kecemasan seperti kebakaran.

School in KL sekolah kuala lumpur
DBKL baru-baru ini mencadangkan pembinaan sekolah dengan konsep menegak di Kuala Lumpur memenuhi keperluan tanah terhad serta pertambahan penduduk di ibu negara.
PETALING JAYA:
Sebuah kesatuan guru menyuarakan kebimbangan mengenai keselamatan pelajar dan guru di bangunan sekolah bertingkat yang tinggi termasuk risiko berkait kesesakan terutama dalam keadaan kecemasan.

Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) Fouzi Singon berkata, reka bentuk dicadangkan iaitu pembinaan dua blok dengan kapasiti antara 10 hingga 17 tingkat mampu menampung sehingga 7,000 pelajar.

Jumlah pelajar yang begitu tinggi meningkatkan risiko ketika kecemasan, khususnya jika ruang tangga sesak dan mempunyai risiko kebakaran.

Fouzi berkata, walaupun sekolah seperti itu akan amat bergantung kepada penggunaan lif, ruang tangga juga perlu diuruskan dengan ketat bagi mengelak berlaku kemalangan terutama ketika gangguan bekalan elektrik.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) baru-baru ini mencadangkan pembinaan sekolah dengan konsep menegak di ibu kota bagi memenuhi keperluan tanah terhad serta pertambahan penduduk di ibu negara.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek mengesahkan bahawa perbincangan sedang dilakukan berhubung cadangan berkenaan. Katanya, aspek keselamatan, ketercapaian dan kebolehlaksanaan akan diberi pertimbangan sewajarnya.

Pengerusi Kumpulan Bertindak Ibu Bapa bagi Pendidikan (PAGE) Noor Azimah Abdul Rahim berkata, ibu bapa hanya akan menyokong inisiatif sekiranya keselamatan anak mereka terjamin.

Menurutnya, sekolah bertingkat mungkin sesuai untuk pelajar sekolah menengah, yang berkemungkinan lebih cenderung mematuhi prosedur pemindahan berstruktur.

“Perlu ada kesedaran disiplin, tanggungjawab, dan keakraban bagi memastikan keadaan teratur dalam keadaan kecemasan, selain pada waktu rehat dan pertukaran kelas,” katanya.

Masalah lalu lintas dan ketercapaian

Rahman Hussin, seorang perancang bandar yang juga ketua pegawai strategi My Mobility Vision, memberi amaran bahawa menempatkan ribuan pelajar dalam satu struktur menegak mampu mengakibatkan masalah kesesakan lalu lintas teruk.

“Risiko kesesakan teruk sangat tinggi apabila ratusan pelajar, guru dan kakitangan tiba atau balik dalam jangka singkat,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, masalah itu dapat diselesaikan menerusi integrasi sekolah dengan rangkaian pengangkutan awam serta melaksanakan waktu permulaan sekolah secara bergilir.

“Sekolah bandar di Singapura mengurangkan kesesakan dengan melaksanakan waktu sekolah bergilir, selain menetapkan zon khas untuk mengambil serta menghantar pelajar,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.