
Che Lodin Wok Kamaruddin memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa beliau hanya memberikan versi kejadian yang berlaku dalam syarikat berkenaan sepanjang lapan tahun berkhidmat, bermula 2009 hingga 2016.
“Saya mahu bentangkan apa yang berlaku semasa operasi 1MDB ketika saya menjadi pengerusi dan ahli lembaga pengarah,” katanya ketika pemeriksaan oleh peguam Shafee Abdullah.
Shafee bertanya Lodin sama ada beliau memberikan keterangan untuk menyokong pembelaan Najib.
Sebelum ini, Lodin memberitahu mahkamah bahawa ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho (Jho Low) tidak mempunyai peranan dalam 1MDB.
Beliau juga mendakwa Najib hanya membuat “permintaan secara sopan” kepada juruaudit ketika itu, KPMG, menandatangani penyata kewangan syarikat itu pada 2013.
Memberi keterangan hari ini, Lodin mengulangi bahawa beliau melihat Low buat pertama kali dalam mesyuarat 1MDB, pada 26 Sept 2009.
“Saya ada bertanya kepada setiausaha syarikat mengapa Jho Low ada dalam mesyuarat kerana dia bukan pengarah atau kakitangan,” kata Lodin sambil menambah beliau tidak tahu siapa mengundang Low.
Shafee: Adakah Jho Low memberi gambaran kepada anda beliau adalah ‘penasihat’ kepada (bekas) perdana menteri (Najib)?
Lodin: Tidak ada
Pendengaran bersambung di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah esok.
Najib berdepan 25 pertuduhan salah guna kuasa dan pengubahan wang dana berjumlah RM2.28 bilion yang dideposit dalam akaun AmBank miliknya, antara Februari 2011 dan Disember 2014.