RM6 juta disalur untuk rawatan kesuburan percuma 1,300 pasangan

RM6 juta disalur untuk rawatan kesuburan percuma 1,300 pasangan

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Nancy Shukri berkata peruntukan itu akan disalurkan menerusi inisiatif Bantuan Rawatan Kesuburan dan Advokasi Infertiliti di bawah LPPKN.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Nancy Shukri berkata kerajaan berharap inisiatif itu dapat membantu lebih ramai pasangan merealisasikan impian mereka untuk membina keluarga. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kerajaan memperuntukkan RM6 juta bagi membiayai dua kitaran rawatan kesuburan IUI secara percuma buat 1,300 pasangan layak serta kempen advokasi infertiliti, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Nancy Shukri.

Beliau berkata peruntukan itu akan disalurkan menerusi inisiatif Bantuan Rawatan Kesuburan dan Advokasi Infertiliti (BuAI) di bawah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN).

“Kerajaan berharap kemudahan dan subsidi rawatan kesuburan melalui Program BuAI ini dapat membantu lebih ramai pasangan merealisasikan impian mereka untuk membina keluarga,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, Nancy dalam ucapannya berkata secara global sekitar 15% pasangan menghadapi isu itu dan hampir satu pertiga pasangan berkahwin di Malaysia kurang lima tahun belum dikurniakan zuriat.

Beliau turut bimbang masalah kesuburan di Malaysia terus merosot kerana data pada 2023 menunjukkan kadar kesuburan jumlah (TFR) hanya 1.7 bayi bagi setiap wanita.

“Jika trend ini berterusan, Malaysia bakal dengan populasi semakin menua menjelang 2030.”

Katanya, masalah kesuburan tidak hanya dikaitkan dengan wanita kerana lelaki juga berdepan masalah sama.

Data LPPKN menunjukkan analisa air mani lelaki yang mendapatkan rawatan mencatatkan penurunan kualiti, iaitu daripada 39% keputusan abnormal pada 2010 kepada 60% pada 2019.

“Malah, isu psikoseksual seperti mati pucuk dan ejakulasi pramatang turut menjadi faktor menyumbang kepada masalah kesuburan. Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2022 menunjukkan 36.9% lelaki berumur 18 hingga 29 tahun mengalami masalah mati pucuk.”

Beliau menyeru golongan lelaki tidak segan mendapatkan rawatan lebih awal kerana semakin cepat masalah dikenal pasti, semakin tinggi peluang untuk mendapatkan rawatan berkesan dan memperoleh zuriat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.