Perjuangan sedekad ‘Phoenix’ Diana hampir gapai impian ke WWE

Perjuangan sedekad ‘Phoenix’ Diana hampir gapai impian ke WWE

Impian Nor Diana Khamaruzaman ke gelanggang World Wrestling Entertainment semakin cerah apabila dipilih dalam rancangan Reality of Wrestling.

Nor ‘Phoenix’ Diana teruja dijemput beraksi di pentas Reality of Wrestling yang dikendalikan legenda gusti Booker T. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
“Tuan-tuan dan puan-puan, perkenalkan Nor Phoenix Diana dari Malaysia.”

Mungkin kata-kata aluan itu bakal kedengaran dalam tempoh beberapa tahun lagi untuk mengiringi kemasukan Nor Diana Khamaruzaman ke gelanggang World Wrestling Entertainment (WWE), arena gusti profesional paling berprestij di dunia.

Gadis berusia 26 tahun berasal dari Kuala Lumpur itu mungkin boleh memasang impian untuk mengikut jejak penggusti wanita profesional antaranya Chyna dan Lita selepas dipilih beraksi dalam rancangan Reality of Wrestling (ROW).

Dia mula beraksi di Walker Texas Lawyer Arena, Texas, Amerika Syarikat (AS) mulai 8 Feb lalu.

Diana yang menceburi bidang gusti sejak 2015 pernah disenaraikan dalam Forbes 30 Asia 2020, merangkumi 300 usahawan muda, pemimpin dan pencetus perubahan di seluruh Asia bawah usia 30 tahun. (Gambar Facebook)

ROW dikendalikan legenda WWE dan juara gusti dunia enam kali Booker T dan bekerjasama dengan WWE untuk melatih atlet profesional untuk beraksi di WWE Independent Development (WWE ID) yang berpeluang menempah nama di pentas lebih tinggi.

“Sudah sembilan tahun Diana dalam industri ini, jadi jemputan sertai ROW dan buat persembahan untuk TV di Amerika Syarikat adalah satu pencapaian yang sangat tinggi dan Diana akan teruskan sampai ke peringkat paling tinggi iaitu WWE.

“Diana sudah Nampak jalan ke pentas WWE. Diana akan lebih fokus,” kata penggusti berhijab itu kepada FMT.

Diana mula mencipta nama sekitar 2019 apabila penampilannya yang berhijab menarik perhatian ramai ditambah dengan gerak lincah di atas gelanggang.

Dia juga disenaraikan dalam Forbes 30 Asia 2020 yang merangkumi 300 usahawan muda, pemimpin dan pencetus perubahan di seluruh Asia bawah usia 30 tahun.

Mengenang perjuangannya menjadi pengusti sejak 2015, Diana berkata dirinya pernah hampis putus asa untuk meneruskan impian menginjak pentas WWE apabila wabak Covid-19 melanda dunia.

Ketika itu hampir semua aktiviti di seluruh dunia terhenti akibat kekangan perjalanan serta sekatan tertentu, kesannya turut dirasai Diana dan pasukannya di bawah jenama APAC Wrestling.

Diana bersama jurulatihnya Ayez Shaukat Fonseka (dua kiri) di gelanggang gusti APAC Wrestling. (Gambar Facebook)

“Harap 2025 akan beri tuah dan Diana mahu lebarkan sayap ke Jepun, Amerika Syarikat dan banyak lagi supaya lebih ramai yang kenal Nor Phoenix Diana.

“Diana mahu jadi inspirasi pada wanita berhijab di luar sana agar kejar impian sehingga berjaya,” katanya.

Ayez Shaukat Fonseka, jurulatih kepada wanita bertubuh kecil itu cukup berbangga dengan pencapaian anak murid dilatihnya sejak 2015.

“Ini bukan kali pertama ROW atau WWE melihat bakatnya tapi sudah sampai satu tahap di mana mereka percaya dengan kebolehannya,” katanya yang juga beraksi di ROW dengan berbaju songket, dan bertanjak.

“Kita mampu jadi hab gusti terbesar di Asia Tenggara, namun kami perlukan bantuan,” katanya berharap kejayaannya dan Diana dapat membuka lebih banyak sokongan pelbagai pihak.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.