
Timbalan Ketua Penerangan PKR Chua Wei Kiat berkata, walaupun Ahli Parlimen Bachok itu mendakwa PN mempunyai ramai calon yang layak untuk diangkat sebagai perdana menteri, namun sehingga kini gabungan itu masih gagal menamakan calon mereka.
“Syahir boleh terus mengkritik kerajaan perpaduan dan Anwar, tetapi adakah (beliau) mampu menjawab satu soalan mudah – siapa calon PM (daripada) PN?” soalnya dalam kenyataan.
“PAS sendiri pernah menolak Muhyiddin Yassin sebagai calon tunggal perdana menteri PN. PAS sebagai parti terbesar dalam PN tak perlu takut kepada Bersatu, PAS berhak menamakan calon PM (daripada) PAS.”
Chua yang juga Adun Rawang berkata, pemimpin PN boleh cuba mengelirukan rakyat namun mereka tidak boleh menyembunyikan hakikat perpecahan dalam PN yang semakin nyata.
“Malah gabungan itu tiada kepimpinan berwibawa untuk menerajui negara,” katanya.
Sementara itu, Adun Kota Anggerik Najwan Halimi berkata, tindakan Syahir tidak menamakan Presiden PAS Hadi Awang sebagai calon utama menggantikan Anwar menggambarkan ketidakyakinan terhadap presiden partinya.
“Saya nak tanya saudara Syahir, adakah saudara tidak yakin dengan keupayaan presiden PAS untuk menjawat jawatan perdana menteri?” soalnya.
‘Saya boleh faham jika saudara tidak yakin dengan presiden kerana ramai juga berpandangan beliau tidak layak, justeru boleh tak Syahir namakan seorang calon PM (daripada) PAS? Itu pun kalau adalah.”
Semalam, Syahir dilaporkan berkata, golongan teknokrat boleh menggantikan Anwar sebagai perdana menteri, yang disifatkan alternatif terbaik untuk memimpin negara.
Kenyataan itu mengulas pendapat bekas duta Malaysia ke Amerika Syarikat (AS) Nazri Aziz yang menyokong Anwar sebagai calon perdana menteri ke-11 atas faktor ketiadaan pengganti setandingnya, termasuk daripada Umno sendiri.