Lesen kenderaan barangan digantung meningkat 100% tahun lalu, kata Loke

Lesen kenderaan barangan digantung meningkat 100% tahun lalu, kata Loke

Loke Siew Fook berkata lesen dan permit digantung kerana gagal mematuhi kod amalan industri untuk keselamatan pengangkutan (ICOP).

lorry highway
Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) juga telah menggantung 23 permit kenderaan pada 2024 atas ketidakpatuhan keselamatan jalan raya.
KUALA LUMPUR:
Sebanyak 247 lesen pengendali dan permit kenderaan barangan digantung tahun lalu kerana gagal mematuhi kod amalan industri untuk keselamatan pengangkutan (ICOP).

Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook berkata jumlah itu meningkat 100% berbanding 2023 yang merekodkan 101 manakala 94 (2022) dan lapan lesen digantung antara 2019 hingga 2021.

Loke Siew Fook.

“Kementerian Pengangkutan (MOT) melalui Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) juga telah menggantung 23 permit kenderaan pada 2024 atas ketidakpatuhan keselamatan jalan raya.

“Tempoh penggantungan boleh mencecah 90 hari untuk ketidakpatuhan serius,” katanya di Dewan Rakyat sambil memaklumkan tujuh lesen pengendali dibatalkan dari 2022 hingga 2024.

Beliau menjawab soalan Shamshulkahar Mohd Deli (BN-Jempol) berhubung usaha tegas kerajaan untuk mengurangkan kemalangan maut membabitkan kenderaan berat terutamanya lori.

Menurut Loke, tindakan itu dikenakan termasuk terhadap sebuah syarikat tersenarai di Bursa Malaysia dan mempunyai lebih daripada 1,000 kenderaan.

Tegasnya, hukuman itu menunjukkan komitmen kerajaan meningkatkan keselamatan jalan raya dan memastikan pematuhan keselamatan terhadap kenderaan berat walaupun membabitkan syarikat besar.

Loke berkata selain hukuman berat seperti denda maksimum RM500,000 dan penjara, kerajaan juga boleh melucutkan hak pemilikan kenderaan.

“Ini sebagai satu mesej kuat kepada pengendali supaya tidak membawa had muatan berlebihan.

“Kita sedang melihat dasar bukan sahaja pemandu dan syarikat pengangkutan dikenakan tindakan, malah pemilik kargo juga bertanggungjawab sekiranya mereka membenarkan kargo mereka ini dibawa dengan had muatan berlebihan,”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.