Kerajaan kaji wajib dedah untung rugi polisi insurans, kata timbalan menteri

Kerajaan kaji wajib dedah untung rugi polisi insurans, kata timbalan menteri

Lim Hui Ying berkata syarikat insurans dan takaful kini hanya perlu isytihar keuntungan dan kerugian keseluruhan dalam penyata kewangan tahunan.

Lim Hui Ying berkata Bank Negara Malaysia (BNM) telah mengambil langkah untuk meningkatkan ketelusan dalam industri insurans perubatan dan takaful kesihatan. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Kementerian Kewangan mengkaji kemungkinan mewajibkan syarikat insurans menyenaraikan keuntungan dan kerugian setiap polisi insurans perubatan bagi memastikan ketelusan dalam kenaikan premium.

Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying berkata ketika ini syarikat insurans dan takaful (ITO) hanya perlu mengisytiharkan keuntungan dan kerugian keseluruhan dalam penyata kewangan tahunan, selaras dengan ‘Malaysian Financial Reporting Standard 17’.

“Namun, mereka tidak diwajibkan menyenaraikan secara terperinci keuntungan dan kerugian bagi setiap polisi insurans perubatan.

“Kami menghargai cadangan ini dan akan menjalankan kajian lebih mendalam bagi mempertimbangkan kebolehlaksanaannya,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Teresa Kok (PH-Seputeh) sama ada kerajaan akan mengarahkan syarikat insurans menyenaraikan secara terperinci keuntungan dan kerugian setiap polisi insurans perubatan bagi memastikan ketelusan dalam menentukan kenaikan premium yang munasabah.

Mengulas lanjut, Lim berkata Bank Negara Malaysia (BNM) telah mengambil langkah untuk meningkatkan ketelusan dalam industri insurans perubatan dan takaful kesihatan termasuk membolehkan pemegang polisi memahami terma dan syarat dengan lebih jelas.

Pada 11 Jan lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim menegaskan kerajaan tidak akan bertolak ansur sekiranya premium insurans kesihatan dinaikkan tanpa alasan munasabah.

Cadangan kenaikan caj premium insurans sekitar 40 hingga 70% yang dikenakan terhadap pengguna masih dalam proses rundingan semula dan laporan BNM akan dimuktamadkan selepas rundingan dengan ITO serta pihak berkepentingan lain diadakan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.