Waspada geng ‘plastik hitam’, Terengganu pantau kedai serbaneka; restoran bukan Islam

Waspada geng ‘plastik hitam’, Terengganu pantau kedai serbaneka; restoran bukan Islam

Op Supik Hitam akan diteruskan demi memastikan kaki ponteng puasa tidak ambil kesempatan sepanjang Ramadan.

Muhammad Khalil Abdul Hadi
Exco Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah, Muhammad Khalil Abdul Hadi, berkata tahun lalu pihaknya menerima maklumat orang Islam tidak puasa membeli di kedai serbaneka 24 jam dan kedai bukan Islam. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kerajaan Terengganu akan memantau kedai serbaneka 24 jam dan restoran bukan Islam sepanjang Ramadan ini bertujuan mencegah orang Islam tidak berpuasa mengambil kesempatan.

Exco Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah, Muhammad Khalil Abdul Hadi, berkata pihaknya telah menerima laporan mengenai orang Islam membeli makanan di premis berkenaan pada waktu tidak dibenarkan, Ramadan lalu.

“Kita akan meneruskan Op Supik Hitam pada tahun ini. Berdasarkan laporan tahun lepas, kita dapati ada orang Islam yang tidak berpuasa mengambil kesempatan membeli di kedai serbaneka 24 jam dan kedai bukan Islam.

“Saya telah mengadakan perbincangan dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk meneliti perkara ini dan mengambil langkah sewajarnya bagi mengatasi masalah berkenaan,” katanya menurut Bernama pada sidang media Op Supik Hitam di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu.

Selain itu, Khalil berkata pihaknya juga mengarahkan Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (Jheat) untuk mengenal pasti kedai menjual makanan kepada mereka tidak berpuasa tahun lalu.

Beliau berkata pada 2024, sebanyak dua kes melibatkan orang tidak berpuasa di bawah Seksyen 19 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 direkodkan.

“Saya ingatkan semua peniaga supaya mematuhi waktu operasi kedai makan atau jualan makanan berdasarkan arahan PBT masing-masing bagi menjaga kesucian Ramadan. Kegagalan mematuhi undang-undang boleh didenda RM3,000 dan penjara dua tahun,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.